AmInvestment aktif adakan rundingan AMINVESTMENT Bank Bhd aktif mempromosikan penyenaraian di Bursa Malaysia di kalangan syarikat China yang mana ia sedang mengadakan lima rundingan untuk tujuan itu.
Pengarah Perniagaan Serantau AmInvestment, Tony Lim, berkata perkembangan itu sejajar dengan liberalisasi pasaran saham tempatan dilaksanakan pertengahan tahun lalu yang membenarkan syarikat asing dengan pemilikan 100 peratus disenaraikan di Bursa Malaysia.
Beliau berkata, tumpuan bank pelaburan itu adalah di bahagian Selatan dan Tenggara China yang menempatkan banyak industri membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi untuk mengembangkan operasi.
"Walaupun Malaysia agak terkebelakang dalam melaksanakan liberalisasi pasaran modal yang membenarkan syarikat asing disenaraikan di bursa tempatan, namun kita masih belum ketinggalan kerana banyak ruang yang boleh diteroka menerusi perubahan dasar yang begitu dialu-alukan penyedia khidmat pelaburan.
"Syarikat pelaburan tidak boleh mengembangkan perkhidmatan ini secara bersendirian tanpa ada kerjasama daripada pihak berkuasa," kata Lim yang ditemui di Jinjiang, yang terletak di Wilayah Fujian, Tenggara China, baru-baru ini.
AmInvestment Bank menjadi penasihat dan pengurus taja jamin tunggal bagi cadangan penyenaraian Multi Sports Holdings Ltd, syarikat pengeluar tapak dan lapik kasut berpangkalan di Jinjiang, yang bakal disenaraikan di Bursa Malaysia pada akhir Julai atau awal Ogos.
Prospektus cadangan penyenaraian itu dikeluarkan pertengahan bulan depan. Multi Sports
adalah sebuah daripada syarikat luar negara paling awal mengumumkan cadangan penyenaraian di bursa tempatan, selepas Xingquan International Sports Ltd, syarikat pengeluar kasut sukan yang juga beroperasi di Jinjiang dengan menggunakan jenama sendiri iaitu Huoxing.
Lim menjelaskan, usaha menarik syarikat China untuk disenaraikan di pasaran tempatan lebih mudah ketika ini kerana ada begitu banyak syarikat yang menanti peluang meraih dana, khususnya di pasaran yang mempunyai potensi besar untuk berkembang seperti Malaysia.
"Pasaran yang lebih awal menarik penyenaraian asing seperti Singapura sudah hampir tepu. Tahun lalu saja negara berkenaan berjaya menarik lebih 170 penyenaraian di China," katanya.
Di Jinjiang saja, yang turut dikenali sebagai 'bandar kasut sukan' ada lebih 3,000 syarikat pengeluar kasut sukan yang bukan saja menghasilkan kasut sukan untuk pasaran tempatan, tetapi juga untuk pasaran asing dengan penguasaan 20-24 peratus pasaran dunia. Lim berkata, sebahagian besar pengusaha berkenaan sentiasa berusaha mencari peluang untuk meraih dana bagi digunakan untuk pembesaran operasi bagi menampung permintaan yang semakin bertambah. Industri kasut sukan di China dianggarkan berkembang pada kadar 20-30 peratus setiap tahun. "Ini secara tidak langsung menyediakan peluang besar kepada penyedia perkhidmatan kewangan seperti AmInvestment Bank untuk meneroka peluang untuk membantu pengusaha meraih dana di pasaran asing," katanya. Jelas beliau lagi, syarat baru Kerajaan China yang memberi insentif termasuk pengecualian cukai bagi wang yang dibawa masuk ke negara berkenaan kepada syarikat tempatan yang mempunyai operasi di luar negara, juga menjadi faktor mendorong syarikat dari republik itu berusaha mendapatkan status syarikat asing. Pasaran saham yang menjadi minat syarikat China termasuk Hong Kong dan Singapura dan yang yang terbaru, di Korea Selatan.
June 22, 2009
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com