PETRONAS memiliki rizab minyak dan gas berjumlah 27.02 bilion tong setakat 1 Januari lalu, meningkat 2.5 peratus daripada 26.37 bilion tong tahun lalu. Peningkatan itu sekali gus meningkatkan nisbah penggantian rizabnya kepada 1.8 kali, iaitu antara yang tertinggi dalam industri minyak global.
Daripada jumlah itu, rizab milik Petronas di luar negara adalah 6.84 bilion tong, meningkat 9.6 peratus daripada 6.24 bilion tong tahun lalu, manakala rizab dalam negara pula adalah 20.18 bilion tong, naik 0.2 peratus daripada 20.13 bilion tong.
Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican, berkata peningkatan tinggi jumlah rizab syarikat minyak negara itu pada peringkat antarabangsa adalah berikutan penemuan sumber gas utama di Turkmenistan dan Mozambique.
“Selain itu, pembelian 40 peratus pegangan dalam projek Gladstone LNG di Queensland, Australia, iaitu pembabitan pertama Petronas dalam hidrokarbon bukan konvensional iaitu gas kelim arang batu atau coal seam gas (CSG) telah membolehkan kumpulan memperoleh rizab gas jenis itu sebanyak 360 juta tong,” katanya.
Mohd Hassan menjelaskan, peningkatan jumlah rizab di dalam negara pula adalah berikutan usaha penerokaan berterusan serta pertambahan aktiviti di lapangan minyak.
Bagaimanapun, katanya, kebanyakan rizab dalam negara pada kedudukan yang amat sukar diteroka yang 14.7 peratus berada di laut dalam dengan 24.7 peratus rizab gas memiliki kandungan karbon yang tinggi.
“Justeru, untuk membangun dan mengekalkan pengeluaran bahan api di dalam negara pada masa depan memerlukan keupayaan teknologi dan kos yang tinggi,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan Petronas bagi tahun berakhir 31 Mac 2009 di Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Hassan berkata, dalam tahun kewangan dikaji, Petronas melabur semula 21.1 peratus atau RM21.9 bilion daripada keuntungan sebelum cukai, bayaran royalti dan duti eksportnya. Pelaburan semula itu bagaimanapun, katanya rendah berbanding kadar purata pelaburan syarikat minyak utama global dan syarikat minyak negara lain yang masing-masing 57.1 peratus dan 72.9 peratus.
Beliau berkata, Petronas melihat pelaburan semula antara 35 peratus dan 40 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai kadar lebih selesa bagi syarikat minyak negara itu. Tegasnya, pelaburan semula itu penting bagi memastikan operasi Petronas terus menjana pendapatan serta keuntungan pada masa depan.
Sementara itu, Mohd Hassan enggan mengulas ketika ditanya spekulasi berhubung penggantinya untuk menerajui syarikat itu. “Memang selalu ada spekulasi mengenai pengganti saya. Saya rasa pertanyaan itu harus ditanyakan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya spekulasi kononnya bakal berlaku pelantikan pengarah baru di Petronas. “Kami tidak membincangkan hal Lembaga Pengarah dalam sidang akhbar,” katanya. Hassan yang dilantik menjawat jawatannya sekarang pada 1995 berkata kontraknya akan tamat pada Februari tahun depan.
June 26, 2009
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com