June 24, 2009

Pelabur Malaysia dipelawa bina semula kawasan terjejas perang

BANGKOK 23 Jun - Sri Lanka, yang baru sahaja berjaya menamatkan pemberontakan di kawasan utara dan timur pulau itu, mempelawa pelabur Malaysia untuk bersama-sama membina semula kawasan yang terjejas dengan perang yang memerlukan sekurang-kurangnya AS$4 bilion (RM14 bilion) hingga AS$5 bilion (RM17.5 bilion) dalam pembangunan awalnya.

Menteri Penggalakan Pelaburan, Pembangunan Perusahaan dan Media, Anura Priyadarshana berkata, memandangkan syarikat Malaysia mempunyai pengalaman yang luas dalam sektor telekomunikasi, pembinaan dan pertanian di negara itu, mereka dalam kedudukan yang baik untuk memperluaskan perniagaan di kawasan terbabit.

Beliau berkata, negara itu memberikan pelepasan cukai selama 15 tahun bagi syarikat-syarikat yang melabur di luar kawasan barat terutamanya di utara dan timur yang tidak menyaksikan pembangunan sejak tiga dekad lalu disebabkan perang saudara antara kerajaan pusat di Colombo dan pemberontak Harimau Tamil Eelam yang mahu menubuhkan negara berasingan bagi etnik minoriti Tamil.

"Kami masih belum mengira jumlah sepenuhnya yang diperlukan untuk membina semula keseluruhan kawasan tetapi sekurang-kurangnya AS$4 bilion hingga AS$5 bilion diperlukan untuk pembangunan awal.

"Setelah perang berakhir, kami boleh ke sana dan melihat apa yang diperlukan selepas tiga dekad mengalami kemusnahan di mana rakyat kawasan itu dinafikan kehidupan yang baik oleh pemberontak," katanya dalam satu temu bual di sini.

Anura, yang mengetuai delegasi perniagaan untuk meneroka potensi pelaburan untuk ahli perniagaan Thailand dan Sri Lanka berkata, kerajaan akan mewujudkan zon ekonomi khas dan penggalakkan eksport di Trincomalee dan Killinochchi, dua bekas tapak kukuh pemberontak.

Sri Lanka berjaya menamatkan pemberontakan berkenaan pada Mei, mengakhiri perang saudara yang paling lama di dunia yang membunuh kira-kira 70,000 penduduk.

Kini terdapat 18 projek pelaburan Malaysia di Sri Lanka dan antara pelaburan utama termasuk Dialog Telekom (milik Telekom Malaysia), rangkaian telefon mudah alih selular, Merbok MDF Lanka yang mengeluarkan papan MDF dan Tritel Services yang merupakan sistem telefon awam berbayar.

Yang lainnya termasuk Naratha Agro-Industries yang menanam bijirin minyak dan mengeluarkan minyak makan berhidrogen, Wincon Development (Ceylon) Ltd. yang terlibat dalam projek-projek pembinaan perumahan untuk kakitangan sektor negeri manakala janakuasa termal berkuasa 36 megawat di Chunnakam, Jaffna dibina oleh Northern Power Company, subsidiari syarikat Malaysia.

Anura berkata, terdapat potensi yang besar dalam sektor pertanian, pelancongan, perikanan dan pembinaan di kedua-dua kawasan itu.

Kilang kertas dan kilang simen yang terbengkalai di sana juga kini boleh diaktifkan semula, katanya.

"Malah, sebuah syarikat Malaysia telah menunjukkan minat untuk membina hotel di Mullattivu," katanya.

Semasa ditanya mengenai nasib kira-kira 280,000 penduduk yang kini ditempatkan di kem-kem pelarian, Anura berkata, kerajaan dalam usaha membersihkan kampung-kampung mereka daripada jerangkap samar sebelum membina semula rumah dan memulihkan bekas pemberontak.

Beliau berkata, tanda pemulihan telah ada di Jaffna, yang bebas daripada pemberontak sedekad yang lalu dan kini kerajaan menarik balik sekatan aktiviti perikanan.

Beliau berkata, pelabur-pelabur juga dipelawa untuk mengadakan kampus universiti luar terbuka di negara itu, dan menambah bahawa dua telah siap yang menawarkan pengajian undang-undang.

Sri Lanka, kata Anura, menawarkan pasaran yang besar untuk pelabur memandangkan negara itu telah menandatangani tiga perjanjian perdagangan bebas dengan India dan Pakistan, yang memberikan akses bebas cukai kepada lebih 1.3 bilion penduduk.

Tetapi dalam mengalu-alukan bantuan asing, beliau berkata, Sri Lanka yang dikritik oleh banyak negara barat kerana dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa hari-hari terakhir peperangan, tidak mahu menerima syarat yang ditetapkan oleh agensi antarabangsa seperti Bank Dunia yang menyentuh kedaulatannya.

Beliau berkata, Jepun telah menunjukkan minat untuk membantu Sri Lanka dalam membina semula kawasan terjejas manakala misi pelaburan dijalankan di Itali, Amerika Syarikat, Kanada, Belgium dan Singapura. - BERNAMA

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers