Oleh DATUK NOHARUDDIN NORDIN
DALAM menghadapi cabaran kegawatan ekonomi semasa, keperluan mengekalkan daya saing dan inovasi adalah amat penting untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa. Para usahawan dan peniaga harus mengambil inisiatif untuk memperbaiki perniagaan masing-masing serta memperkukuh dan memperluaskan rangkaian perniagaan mereka.
Salah satu penekanan yang harus diberikan dalam meningkat daya saing negara di persada antarabangsa adalah melalui penjenamaan produk. Penjenamaan atau 'branding' memainkan peranan yang sangat penting kerana ianya dapat membezakan keunikan sesuatu produk tersebut jika dibandingkan dengan pesaingnya. Penjenamaan bukan sahaja menitikberatkan jenama produk tersebut, tetapi ia juga penting bagi mencapai piawai antarabangsa yang ditetapkan.
Pada masa ini, didapati para usahawan dan peniaga masih kurang memberi perhatian kepada penjenamaan kerana mereka menganggap bahawa ia tidak memberikan pulangan ke atas pelaburan.
Dalam usaha untuk meyakinkan para usahawan dan peniaga agar melabur dalam bidang penjenamaan, Kerajaan telah memperkenalkan beberapa kemudahan seperti Geran Promosi Jenama di bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Skim Pinjaman Mudah Penjenamaan Antarabangsa di bawah Syarikat Permodalan Kemajuan Perusahaan Malaysia Bhd. (MIDF).
Program latihan berbentuk kursus, seminar dan bengkel juga ditawarkan oleh MATRADE untuk membantu meningkatkan pengetahuan para usahawan terutamanya pengusaha Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS) dalam bidang pemasaran seperti peluang perniagaan, e-dagang, pensijilan, pelabelan dan penjenamaan. Seperti mana yang dapat dilihat, Petronas, MAS, Air Asia, Royal Selangor, Bonia dan juga Lewre telah menyemarakkan nama Malaysia dengan jenama mereka yang tersendiri di arena antarabangsa.
Kerajaan juga menyediakan pelbagai program yang berupaya mewujudkan peluang perniagaan bagi para usahawan dan peniaga menerusi penyediaan kemudahan kewangan, insentif, pembangunan eksport, pembangunan EKS, pembina upayaan keusahawanan dan sebagainya.
Kepelbagaian insentif dan galakan yang diberikan oleh Kerajaan untuk memajukan ekonomi negara perlu dilihat sebagai satu usaha membina keupayaan dan daya saing mereka. Secara keseluruhannya, ia menyumbang kepada kesan positif terhadap peningkatan daya saing ekonomi negara.
Sebagai persiapan menghadapi cabaran baru ekonomi dunia, para usahawan dan peniaga juga wajar melengkapkan diri dengan mempergiatkan usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan dalam bidang-bidang strategik. Mereka harus berdikari dan bersedia untuk mengambil inisiatif bagi memperkukuhkan keupayaan mereka dan memantapkan jaringan perniagaan di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Kerjasama perniagaan ini mestilah bersifat jangka panjang, dengan tujuan untuk membentuk satu perniagaan yang kukuh. Dalam pada itu, para usahawan dan peniaga juga perlu menghasilkan inovasi dalam teknologi tinggi dan berpengetahuan serta mahir dalam pembangunan pemasaran.
Bagi membolehkan produk tempatan bersaing di arena antarabangsa adalah penting bagi para usahawan dan peniaga mengurangkan kos pengeluaran dan meningkatkan produktiviti mereka. Ini boleh dicapai melalui pembaikan dalam proses pengeluaran dan penggunaan teknologi dan mesin yang terkini. Peningkatan produktiviti pekerja boleh ditingkatkan melalui latihan kemahiran yang disediakan oleh agensi kerajaan.
Penerokaan pasaran menerusi perjanjian perdagangan bebas yang telah ditandatangani, seperti Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China, Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea, Perjanjian Rakan Perkongsian Malaysia-Jepun dan Perjanjian Rakan Perkongsian Bersepadu Malaysia-Pakistan, telah membuka peluang pemasaran ke negara-negara ASEAN, China, Korea, Jepun dan Pakistan menerusi pengurangan duti import. Penting bagi para usahawan dan peniaga tempatan untuk mengeksport keluaran mereka ke pasaran ini pada kadar tarif yang lebih rendah. Secara langsungnya, ia telah menyumbang kepada peningkatan tahap persaingan pasaran di negara kita.
Kesimpulannya, para usahawan dan peniaga perlu meningkatkan daya saing mereka bagi memastikan keluaran mereka dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Selain itu, ia juga amat penting bagi para usahawan dan peniaga untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan peniaga antarabangsa semasa keadaan ekonomi yang tidak menentu ini. Dengan terjalinnya hubungan perniagaan yang baik di kalangan rakan peniaga serta sikap berdaya saing dan agresif ini, pastinya apabila ekonomi negara bertambah baik, para usahawan dan peniaga akan lebih berjaya dan ia sekali gus memudahkan mereka memajukan lagi perniagaan yang sedia ada.
n Penulis ialah Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com