BANK Negara Malaysia masih mengekalkan unjurannya bahawa ekonomi negara akan mencatatkan prestasi lebih baik dalam tempoh separuh kedua tahun ini meskipun petunjuk terbaru membayangkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) belum mampu pulih seperti yang diramalkan sebelum ini.
Gabenornya, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata walaupun pengangguran di AS bulan lalu melonjak melepasi jangkaan, namun Bank Negara sudah mengambil kira perkara itu dalam unjurannya. “Kami sudah mengambil kira perkara itu dalam unjuran. Berdasarkan penilaian kami, perkembangan ekonomi pada suku kedua hampir sama dengan suku pertama.
“Bagaimanapun, kami menjangka prestasi lebih baik pada separuh kedua tahun ini dan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas forum Kewangan Islam Malaysia-United Kingdom di Kuala Lumpur semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar London, Alderman Ian Luder dan Pesuruhjaya Tinggi British, Boyd McCleary. Minggu lalu Jabatan Buruh AS mengumumkan kadar pengangguran negara itu bagi Jun meningkat kepada 9.5 peratus, tertinggi dalam tempoh hampir 26 tahun.
Susulan itu, Naib Presiden AS, Joe Biden dilaporkan berkata, pentadbiran Presiden Obama kini sudah tersasar dalam membuat jangkaan berhubung pemulihan ekonomi negara itu. Obama sebelum ini mengunjurkan kadar pengangguran negara itu hanya akan mencecah paras tertinggi sekitar lapan peratus susulan pelaksanaan pakej rangsangan fiskal berjumlah AS$787 bilion yang diluluskan pada Februari lalu.
Sementara itu, Penasihat Ekonomi Obama, Laura Tyson pula mencadangkan agar kerajaan AS menimbangkan pelaksanaan pakej rangsangan kedua. Zeti berkata, Malaysia masih boleh mengharapkan kesan positif daripada pelaksanaan dua pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada November dan Mac lalu.
“Pelaksanaan dua pakej rangsangan itu akan mula memberi kesan pada suku ketiga dan keempat tahun ini dan ia sedang dilaksanakan secara agresif. Ia amat penting dalam mengekalkan permintaan dalam negara,” katanya.
Mengenai kemungkinan Bank Negara menurunkan kadar faedah bagi mengurangkan lagi kos pinjaman, Zeti berkata, kadar faedah semasa sudah berada di paras yang memadai berdasarkan senario ekonomi ketika ini dan bank pusat itu kini lebih memberi tumpuan kepada langkah memudahkan akses kepada pembiayaan.
Mengenai paras selesa nilai ringgit berbanding dolar AS, Zeti berkata, Malaysia tidak pernah bergantung kepada kadar pertukaran untuk meningkatkan daya saing. “Kami melihat turun naik nilai tukaran ringgit adalah sejajar dengan pergerakan mata wang utama lain berbanding dolar AS,” katanya.
“Nilai ringgit adalah berdasarkan asas ekonomi negara. Asas ekonomi Malaysia dijangkakan akan bertambah baik dan ringgit dijangka mengukuh secara berperingkat,” katanya. Nilai ringgit ketika ini adalah sekitar RM3.52 sedolar, susut 1.44 peratus berbanding RM3.47 sedolar, paras tertinggi dalam tempoh lima bulan yang dicatat pada 3 Jun lalu.
July 9, 2009
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com