June 22, 2009

Pantulan teknikal minggu ini

ALIRAN berita negatif daripada Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor Selatan susulan penamatan memorandum persefahaman (MoU) penjualan tanah oleh pihak berkuasa pelaburan Dubai dan UEM Land, serta bantahan Sultan Johor berhubung cadangan pembinaan jambatan ketiga di antara Singapura dan Johor Timur, mencetus tekanan jualan khususnya kelompok saham murah, manakala saham mewah susut sejajar pembetulan pasaran saham serantau.

Permintaan Singapura untuk menyertakan isu dua hala lain sebagai pakej kepada cadangan membina jambatan itu mendapat tentangan pelbagai pihak di negara ini, dan salah faham semasa berhubung isu itu walaupun menjejaskan harapan pelaburan, namun ia dijangka tidak akan memberi kesan kepada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) dari republik itu. Susulan itu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) susut 30.65 mata atau 2.8 peratus minggu lalu berbanding minggu sebelumnya untuk ditutup pada 1,059.50 mata.

Antara kaunter yang menyumbang sepertiga daripada penurunan itu adalah Maybank yang susut 3.22 mata, diikuti Tenaga (-2.37), Genting (-2.36) dan Axiata (-2.31). Jumlah purata dagangan dan nilai harian turut terjejas kepada 1.58 bilion saham bernilai RM1.64 bilion daripada 2 bilion saham bernilai RM1.72 bilion sehari yang diniagakan pada minggu sebelumnya.

Walaupun aliran berita negatif mengenai Iskandar Malaysia menjelang Persidangan Invest Malaysia 2009 dianggap sebagai ‘antikli-maks’, namun acara yang berlangsung hujung bulan ini dijangka bakal mengehadkan kejatuhan pasaran.

Perkara yang akan diumumkan pada persidangan itu juga akan merangsang semula pasaran dengan jangkaan pengumuman berita baik yang akan menjana minat pelabur terhadap kaunter syarikat berkaitan kerajaan (GLC) khususnya yang terbabit dalam pembangunan koridor serta projek awam lain.

Pelbagai inisiatif mesra perniagaan dan pasaran dijangka diumumkan kerajaan pada persidangan itu, khususnya berhubung pendekatan mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kecekapan berbanding memperkenalkan inisiatif yang mampu mengurangkan pendapatan dan meningkatkan defisit fiskal kerajaan.

Lebih banyak kaedah berhubung liberalisasi ekonomi juga dijangka diumumkan kerajaan dengan tumpuan kepada sektor perkhidmatan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada eksport dan sektor pembuatan.

Pada peringkat antarabangsa, khususnya di Amerika Syarikat (AS), data utama baru berkaitan pasaran hartanah, penggunaan, pesanan produk dan keputusan Rizab Persekutuan AS berhubung kedudukan kadar pinjaman, akan diketahui pada minggu ini.

Kebimbangan mengenai tekanan inflasi semakin reda dengan penyusutan hasil bon jangka panjang yang dianggap positif dalam memastikan usaha merangsang semula ekonomi tidak dipengaruhi sebarang peningkatan kadar faedah bagi tempoh enam bulan akan datang.

Bagaimanapun kebimbangan penurunan inflasi itu dijangka tidak membabitkan komoditi khususnya minyak mentah. Permintaan komoditi itu dijangka terus meningkat daripada 83.2 juta tong sehari kini susulan pemulihan ekonomi global dan kekurangan pelaburan dalam sektor itu sejak sembilan bulan lalu akan menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan pengeluarannya pada masa depan, justeru, merangsang harga dan aktiviti dalam sektor minyak dan gas.

Susulan itu, kelemahan harga kaunter berkaitan minyak dan gas seperti KNM, Sapura Crest, Perisai Petroleum, Tanjung Offshore, Petra Energy dan Pantech, boleh dilihat sebagai peluang bagi mengumpul saham berkenaan.

Dari sudut teknikal, petunjuk momentum harian dan mingguan KLCI menunjukkan isyarat penurunan yang dijangka tidak akan memihak kepada pelabur jangka pendek pada minggu ini. Namun, petunjuk terlebih jualan pada carta momentum khususnya petunjuk stochastic harian akan memaparkan isyarat belian dengan kemungkinan berlaku pantulan teknikal.

Bagaimanapun, berdasarkan carta mingguan sebarang peningkatan dijangka terhad dengan paras halangan KLCI pada 1,094 mata. Paras sokongan KLCI minggu ini adalah pada 1,052 mata dan 1,036 mata, manakala paras halangan semasa pula pada 1,073, 1,083 dan antara 1,090 hingga 1,095 mata.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers