EKONOMI Malaysia menguncup 6.2 peratus pada suku pertama tahun ini berikutan kemerosotan ketara eksport produk perkilangan dan komoditi akibat kemelesetan meruncing di negara maju, tetapi prospek bagi pemulihan kelihatan cerah pada separuh kedua.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata penguncupan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh itu turut disumbangkan penurunan pelaburan berikutan sentimen perniagaan yang lemah, tetapi suntikan perbelanjaan sektor awam memberikan sedikit sokongan.
Beliau berkata, dalam tempoh itu semua sektor ekonomi mengalami penguncupan kecuali pembinaan yang berkembang 0.6 peratus berikutan pertambahan pembinaan bangunan pejabat dan unit hartanah jenis mewah.
Katanya, sektor perkilangan merosot 17.6 peratus disebabkan penguncupan 23.1 peratus industri berorientasikan eksport khususnya produk elektrik dan elektronik. Sektor perkhidmatan, katanya merosot 0.1 peratus, terutama disebabkan penurunan bagi subsektor yang menyokong sektor perkilangan, manakala sektor pertanian menguncup 4.3 peratus disebabkan pengeluaran minyak sawit dan getah lebih rendah.
Sektor perlombongan pula merosot 5.2 peratus berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan penurunan pengeluaran gas asli.
“Penguncupan ekonomi pada suku pertama lalu sememangnya sudah dijangkakan sejajar dengan kemelesetan ekonomi global. Bank Pusat sudah mengumumkan bahawa pertumbuhan ekonomi akan menerima kesan yang ketara.
“Kami juga menjangkakan prestasi ekonomi sangat lemah memandangkan krisis kewangan berlarutan lebih lama daripada dijangkakan dan kemerosotan ekonomi global yang lebih teruk daripada jangkaan,” katanya pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi pada suku pertama 2009 itu di Kuala Lumpur, semalam.
Zeti berkata, prestasi ekonomi negara pada suku kedua dijangkakan hampir sama dengan suku pertama dilihat daripada pasaran eksport yang masih lemah ketika persekitaran ekonomi semasa kekal mencabar.
“Kita hampir melengkapkan tempoh suku kedua dan apa yang kami lihat eksport masih lagi lemah. Di sebalik sudah ada tanda awal pemulihan, prestasi pada suku ini akan hampir sama dengan suku pertama,” katanya.
Zeti bagaimanapun menegaskan, pemulihan ketara dijangkakan mula disaksikan dalam suku ketiga, manakala pertumbuhan positif akan disaksikan pada suku keempat. “Ekonomi dijangka stabil dalam separuh kedua tahun ini disokong pakej rangsangan ekonomi kerajaan dan langkah yang diambil bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan terutama pinjaman kepada sektor swasta yang menjadi enjin pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.
Zeti berkata, tanda pemulihan ekonomi juga dapat dilihat daripada suasana pasaran buruh yang lebih baik apabila kadar pembuangan pekerja sudah stabil. “Harga komoditi bertambah baik dan kadar inflasi pula menurun sekali gus dapat meningkatkan kuasa beli pengguna,” katanya.
Di sebalik penguncupan KDNK pada suku pertama itu, asas ekonomi negara masih kukuh. Zeti berkata, dalam suku pertama lalu, kadar inflasi menyederhana kepada 3.7 peratus dan ia dijangka terus menyederhana untuk berada pada kadar antara 1.5 peratus dan dua peratus bagi seluruh tahun ini.
Rizab antarabangsa Bank Negara juga, katanya adalah kukuh berjumlah RM320.7 bilion pada akhir suku pertama lalu dan terus stabil pada RM321.5 bilion pada 15 Mei, memadai untuk membiayai 8.3 bulan import tertangguh dan adalah 3.8 kali hutang jangka pendek.
Katanya, sektor perbankan pula terus berdaya tahan disokong permodalan yang kukuh dan mutu kredit yang stabil. Pada akhir Mac 2009, nisbah modal wajaran risiko (RWCR) sistem perbankan tempatan bertambah kukuh kepada 13.4 peratus, manakala nisbah modal teras (CRR) pula meningkat 0.9 mata kepada 11.5 peratus.
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com