February 2, 2009

Analisis Saham: Eksport MSM terima kesan global

Penganalisis kekal harga andaian minyak sawit mentah sepanjang 2009 sekitar RM1,800 satu tan PENGURANGAN permintaan dijangkakan memberikan tekanan kepada komoditi utama Malaysia termasuk minyak sawit mentah (MSM) tahun ini.

Bagi industri sawit, syarikat perladangan menikmati keuntungan hebat ketika harga MSM mencecah RM1,750 pada suku keempat 2006 dan sejak itu, harga terus meningkat didorong permintaan dari negara seperti India dan China serta sektor bahanapi bio.

Bagaimanapun pada Mac 2008, peserta industri komoditi itu, termasuk Asiatic Development Bhd, mengalami perubahan selepas harga MSM merudum berikutan kejatuhan harga minyak mentah dan penurunan permintaan ekoran krisis kewangan Amerika Syarikat.

Harga MSM turun dua pertiga daripada paras tertinggi RM4,486 satu tan pada Mac tahun lalu kepada paras semasa kira-kira RM1,500 satu tan. Sungguhpun begitu, sentimen bagi sektor perladangan kelihatan bertambah baik sejak suku keempat 2008.

Eksport MSM negara meningkat kukuh pada Disember 2008, menokok 18 peratus berbanding tahun sebelumnya ke paras tertinggi 1.61 juta tan.

Kenaikan itu berkemungkinan disebabkan aktiviti menambah stok susulan keredaan yang dirasai pada bulan-bulan sebelumnya. Selepas mencecah paras terendah RM1,331 satu tan akhir Oktober, harga kembali meraih momentum menaik, melonjak melepasi RM2,000 satu tan, sungguhpun hanya sementara, pada awal tahun.

Harga MSM ketika ini berlegar sedikit di atas paras RM1,800 satu tan. Harga purata bagi MSM ialah sekitar RM1,550 satu tan pada penghujung 2008, di bawah harga purata sekitar RM3,500 satu tan pada separuh pertama 2008.

Stok penutupan bagi MSM juga susut pada Disember, daripada tinggi 2.27 juta tan kepada 1.99 juta tan. Jumlah eksport untuk sepanjang tahun selari hasil pengeluaran, berkembang sekitar 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, tinjauan tahun ini kelihatan kurang pasti. Kemelesetan ekonomi global kelihatan akan bertambah buruk, sungguhpun pelbagai langkah agresif diambil kerajaan dan bank pusat seluruh dunia termasuk pengurangan kadar faedah.

Bulan lalu, Suruhanjaya Eropah mengurangkan tinjauan pertumbuhan kawasan berkenaan, menjangka penguncupan 1.9 peratus bagi zon eropah, susut daripada pertumbuhan 0.1 peratus diramalkan pada November tahun lalu.

Dengan peningkatan pengangguran dan pengurangan pendapatan, perbelanjaan pengguna terus berkurangan. Data industri mencadangkan eksport MSM negara susut ketara 33 peratus dalam tempoh 20 hari pertama tahun ini berbanding bulan sebelumnya.

Sungguhpun terdapat harapan bagi pemulihan ekonomi global pada separuh kedua 2009, mengambil kira kesan mendalam kelembapan ekonomi, pemulihan dijangka perlahan dan beransur-ansur.

Justeru, kita berkemungkinan tidak dapat menyaksikan kembali harga komoditi yang tinggi seperti yang dicatatkan awal tahun lalu dalam tempoh terdekat ini. Kerajaan telah menjadikan mandatori penggunaan lima peratus campuran biodiesel berasaskan sawit untuk kenderaan kerajaan.

Rancangan itu bertujuan melanjutkan penggunaannya ke sektor perindustrian dan pengangkutan awam menjelang 2010. Ini sekali gus dapat menghabiskan lebihan stok. Bagaimanapun, dengan dagangan hadapan minyak mentah sekitar AS$35-AS$40 setong, tinjauan permintaan komersial bagi bahanapi bio alternatif kurang memberangsangkan.

Ini akan mengurangkan tekanan untuk menukar tanaman makanan seperti jagung dan biji sesawi untuk penghasilan bahanapi bio. Penganalisis di InsiderAsia mengekalkan harga andaian MSM RM1,800 satu tan bagi 2009, jauh di bawah harga purata RM1,800 satu tan pada 2008.

Sehubungan itu, sungguhpun jangkaan pertumbuhan pengeluaran tandan segar sebanyak empat peratus, jualan dijangka jatuh mendadak disebabkan harga jualan lebih rendah. Sebaliknya, kos pengeluaran Asiatic dijangka tidak akan susut banyak.

Sungguhpun harga baja berkurang sedikit kebelakangan ini, InsiderAsia berpendapat ia masih lagi lebih tinggi berbanding harga purata yang dibayar Asiatic untuk tahun lalu. Asiatic belum lagi membuat sebarang pembelian baja tahun ini dengan jangkaan harga akan lebih rendah dalam tempoh terdekat.

InsiderAsia menganggarkan kos pengeluaran Asiatic akan kekal antara RM950-RM1,000 satu tan tahun ini. Firma itu juga berpendapat ia akan memberi kesan kepada penguncupan keuntungan bersih Asiatic dengan ramalan ia akan susut kepada RM182 juta atau 24 sen sesaham pada 2009, kira-kira separuh unjuran tahun sebelumnya Prospek jangka panjang Asiatic kekal positif, yang mana ia bercadang meneruskan program tanaman kawasan baru secara usaha sama di Indonesia.

Jika rancangan berjalan lancar, ia akan menanam sehingga 20,000 hektar setahun. InsiderAsia mengekalkan cadangan 'pegang' ke atas saham syarikat berkenaan.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers