February 23, 2009

Tinjauan Pasaran: Penanda aras menjunam tak diduga

BURSA Malaysia mencatat kejatuhan minggu lalu, sekali gus menghapuskan semua kenaikan yang diperolehnya selama dua minggu sebelum itu, apabila pasaran diselubungi kebimbangan mengenai kemerosotan ekonomi yang semakin membimbangkan.

Kebimbangan juga berlegar mengenai kemungkinan beberapa bank di Amerika Syarikat (AS) diselamatkan oleh kerajaan berikutan kemusnahan tidak terbilang aset masing-masing yang turut menjejaskan sentimen tempatan.

Minggu lalu, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) jatuh 20.13 mata atau 2.2 peratus untuk ditutup pada 889.71, manakala purata urus niaga berada pada 352.7 juta saham bernilai RM537 juta, berbanding 404.8 juta saham bernilai dan RM639.4 juta minggu sebelumnya.

Penanda aras indeks komposit menjunam tanpa diduga apabila pasaran memberi reaksi negatif terhadap tinjauan ekonomi global yang semakin buruk dan ketidaktentuan politik tempatan. Penguncupan teruk ekonomi Jepun pada purata 12.7 peratus, kejatuhan paling teruk sejak tragedi kejutan minyak 1974 dan tinjauan suram ekonomi oleh menteri AS, Britain dan kumpulan tujuh negara maju (G7) turut menyumbang sentimen lemah di pasaran tempatan yang berlegar sekitar ketidaktentuan politik di Perak.

Indeks Harga Pengguna bagi Januari yang dikeluarkan Jumaat lalu, meningkat pada purata 3.9 peratus berbanding tahun lalu. Tidak mustahil, indeks harga makanan dan minuman tidak beralkohol kekal tinggi kerana peniaga enggan menurunkan harga barang dan perkhidmatan.

Hanya menunggu masa saja untuk persaingan harga menjadi semakin hangat dan peniaga mulai berasa persaingan serta menurunkan harga apabila pengangguran semakin meningkat. Angka eksport, jualan dan pengeluaran sektor perkilangan yang dikeluarkan baru-baru ini tidak memberikan gambaran positif ke atas tinjauan masa depan dan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat yang akan dikeluarkan Jumaat ini, juga mungkin akan memberi maklum balas yang sama.

Justeru, untuk memastikan ekonomi terus bergerak, langkah yang akan diumumkan 10 Mac ini seharusnya menangani kemelesetan yang dialami ketika ini dalam pelbagai cara, termasuk perbelanjaan awam terhadap projek yang akan memberi kesan berganda dan menurunkan cukai peribadi yang akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna isi rumah


Selain itu, langkah yang boleh diambil juga termasuk memberi insentif yang akan mengekalkan permintaan bagi hartanah dan pertumbuhan pinjaman, pemberian insentif kepada golongan berpendapatan rendah yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan, serta membuat keputusan dasar berani untuk mengekalkan pertumbuhan negara untuk kekal berdaya saing di pasaran global.

Minggu ini, kita akan memasuki peringkat akhir musim pelaporan suku keempat, yang mana akan menyaksikan syarikat berwajaran berat seperti Sime Darby, Maybank dan Commerce, mengumumkan keputusan masing-masing.

Harga komoditi yang lemah dan kos pengeluaran yang tinggi menyeret pendapatan syarikat berkaitan perladangan lebih rendah dan ini tidak terkecuali bagi Sime Darby yang dijangka turut menyaksikan pengurangan aktiviti bahagian perniagaannya yang lain.

Maybank dan Commerce pula, masing-masing dijangka melaporkan peruntukan yang tinggi dan kerugian tukaran asing yang akan menjejaskan pendapatan sukuan masing-masing. Sehubungan itu, KLCI dijangka terus mencatat pembetulan minggu ini.

Selain itu, penurunan besar di pasaran saham luar negara akan terus mempengaruhi pasaran tempatan, dan pelabur tempatan dijangka menjauhi pasaran. Paras sokongan rendah dijangka berada pada 889 mata dengan paras paling rendah pada 869 mata, manakala paras rintangan tinggi pada 900 serta paling tinggi pada 920.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers