April 13, 2009

Analisis Saham: Pemulihan ketara VSI diramal sukar dicapai

Firma terdedah jualan sektor elektronik, elektronik pengguna

VS Industry Bhd (VSI), penyedia perkhidmatan pengeluaran elektronik bersepadu, berkemungkinan besar tidak menyaksikan pemulihan bermakna tahun ini, berikutan pendedahannya terhadap sektor elektrik dan elektronik pengguna.

VSI, antara 50 penyedia perkhidmatan pembuatan secara kontrak utama dunia, beroperasi di Malaysia, Indonesia, Vietnam dan China dengan memiliki 15,000 tenaga kerja. Antara bidang pengkhususannya ialah dalam acuan suntikan plastik, kemasan plastik, fabrikasi dan mereka bentuk peralatan, memasang PCB menggunakan teknologi Surface Mouny (SMT), dan cip pada papan (COB).

Ia juga memiliki keupayaan dalam pengeluaran pelbagai rangkaian unit kawalan jauh seperti ODM/OEM, pencetak, audio, video, produk DVD untuk syarikat bertaraf dunia. Pelanggannya termasuk Dyson, Sony, Sharp, Brother, Samsung, Hitachi, Actaris, Panasonic dan Plasplugs.

VSI mencatatkan penurunan keuntungan sebelum cukai ketara kepada RM4.133 juta bagi suku kewangan kedua berakhir 31 Januari 2009 berbanding RM28.743 juta tempoh sama 2008. Pendapatan dalam suku dikaji susut kepada RM194.785 juta daripada RM332.658 juta.

Keuntungan bersih terkumpul bagi enam bulan sehingga 31 Januari 2009 berjumlah RM10.8 juta, penyusutan 74.4 peratus ber-banding tempoh sama 2008.

Kemerosotan itu disebabkan beberapa faktor seperti peruntukan lebih tinggi daripada jangkaan serta kerugian tukaran asing lebih tinggi, selain dikaitkan dengan kerugian tidak dijangka daripada operasinya di China.

Bagaimanapun, penyusutan di peringkat operasinya jauh lebih besar sebanyak 61.5 peratus, disebabkan kombinasi peruntukan lebih tinggi bagi hutang, pergerakan inventori perlahan dan kerugian tukaran asing lebih tinggi mencecah RM6.1 juta.

Susulan prestasi sukuan lemah daripada jangkaan itu, Standard & Poor's mengurangkan unjuran pendapatan VSI bagi tahun kewangan 2009 dan 2010, masing-masing 54.1 peratus dan 28.4 peratus.

S&P kini menjangka untung bersih VSI akan susut 70.7 peratus berbanding penyusutan 36.1 peratus sebelumnya, berikutan tinjauan ia bakal berdepan cabaran getir dalam tempoh terdekat.

S&P mengekalkan cadangan 'pegang' ke atas saham VS Industry, dengan harga sasaran direndahkan kepada RM1.05 daripada RM1.25 sebelum ini susulan penurun taraf ramalan pendapatannya.

Harga sasaran S&P diambil kira daripada 5XPER pendapatan tahun kewangan 2010. Bagaimanapun, RHB Research Institute lebih bernada positif, dengan menjangkakan pendapatan VSI berkemungkinan akan lebih kukuh pada masa depan, selaras pemulihan ekonomi dunia.

RHB Research tetap merendahkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2009-2011 VSI sebanyak 14.1 hingga 20.1 peratus berdasarkan keputusan kewangan yang lebih lemah daripada jangkaan.

Firma itu mengurangkan nilai munasabah indikatif VSI kepada RM1.02 daripada RM1.37 berdasarkan 5x purata EPS tahun kewangan 2009 dan 2010. Ia juga mengekalkan cadangan 'pegang' terhadap saham VSI.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers