SAHAM di Bursa Malaysia melonjak tinggi sebaik memulakan dagangan pada tahun baru, dengan peningkatan ketara pada kaunter murah susulan pertambahan momentum belian mencecah paras tertinggi dalam tempoh enam bulan berikutan kemasukan kembali pelabur yang pulang dari cuti hujung tahun.
Minggu pertama 2010, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) menokok 20.2 mata atau 1.6 peratus kepada 1,292.98 mata, didorong peningkatan kaunter mewah termasuk CIMB (+54 sen), Axiata (+11 sen) dan IOI Corp (+12 sen) yang secara umumnya menyumbang separuh daripada peningkatan indeks.
Purata jumlah dan nilai dagangan harian melonjak kepada 1.43 bilion saham bernilai RM1.59 bilion, tertinggi sejak pertengahan Jun tahun lalu, lebih tinggi berbanding 555.9 saham bernilai RM744.6 juta yang diniagakan pada minggu sebelumnya.
Kenaikan mendadak aktiviti pasaran minggu lalu adalah sesuatu di luar jangkaan, didorong petunjuk perkilangan positif daripada Amerika Syarikat (AS), China, Eropah dan India, sekali gus merangsang pasaran.
Kenaikan jumlah dagangan hampir tiga kali ganda dan bukannya nilai, menggambarkan peningkatan minat dalam kaunter murah dan bermodal rendah, sejajar dengan kelaziman peningkatan awal tahun yang dikenali sebagai ‘Kesan Januari’.
Indeks penanda aras mengalami pengukuhan pada separuh kedua minggu lalu sejajar kelemahan pasaran global.
Walaupun tahun ini bermula dengan baik dari segi aktiviti pasaran, arena korporat tempatan tidak sunyi daripada kemunculan pergolakan di peringkat pengurusan.
Sebagai contoh, ketegangan antara anggota Lembaga Pengarah dan pengurusan Petra Perdana Bhd yang
semakin memuncak.
Pergolakan itu menyaksikan penggantungan hampir semua pegawai pengurusan kanan syarikat dari jabatan operasi, audit dalaman dan pematuhan, perundangan, akaun dan kewangan.
Jika berlaku ketegangan antara pemegang saham, ia adalah perkara biasa tetapi pergolakan antara pemegang saham dan pengurusan akan menggugat kestabilan prestasi kewangan dan moral kakitangan secara serius.
Sebilangan pemimpin korporat yang ditemui minggu lalu, berharap rentetan insiden berkenaan tidak memberi isyarat salah kepada yang lain kerana ia akan menimbulkan kesukaran dalam membuat keputusan.
Selain itu, pasaran juga tidak sunyi daripada khabar angin mengenai siasatan dalaman Alliance Financial Group dan peletakan jawatan pegawai kanannya.
Dalam hal itu, pihak pengurusan harus lebih telus mengenai siasatan dalaman ketika bertemu penganalisis Jumaat lalu, tidak hanya menjelaskan bahawa ia cuma isu tadbir urus.
Minggu ini, pasaran dijangka mengalami pengukuhan susulan berlaku aktiviti pengambilan untung yang sederhana.
Bagaimanapun, kedudukan pasaran masih lagi positif dan pertambahan kukuh jumlah urus niaga menggambarkan kesanggupan pelabur untuk mengambil risiko yang lebih besar.
Penurunan harga akan dilihat sebagai peluang untuk membeli saham khususnya yang memiliki beta tinggi iaitu yang memiliki asas kewangan yang baik, selain pendedahan kepada kaunter bertahan seperti dalam sektor sarung tangan getah dan tenaga.
Paras halangan bagi FBM KLCI ketika ini adalah pada 1,300 dan 1,305 mata manakala paras sokongan adalah pada 1,287 dan 1,248 mata.
January 11, 2010
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com