December 14, 2009

Ulasan Pasaran: Pasaran dijangka kukuh minggu ini

SAHAM bursa Malaysia meneruskan aliran pengukuhan minggu lalu, dengan sebahagian besar pelabur menjauhi pasaran menjelang cuti panjang hujung tahun, di samping aktiviti pengambilan untung secara sederhana pada kaunter mewah.

Pada asas mingguan, Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) susut 10.2 mata atau 0.8 peratus untuk kepada 1,260 mata, disumbangkan penyusutan kaunter mewah termasuk Genting Bhd (-26 sen), Maybank (-7 sen), Axiata (-5 sen ) dan MISC (-16 sen).




Jumlah purata urus niaga harian sepanjang minggu lalu susut kepada 607 juta saham bernilai RM828.3 juta berbanding 814.3 juta saham bernilai RM1.13 bilion yang dicatat sepanjang minggu sebelumnya.

Walaupun sudah hampir mengakhiri 2009, masih belum terdapat petanda akan berlaku lonjakan menjelang hujung tahun seperti kelaziman, meskipun beberapa petunjuk ekonomi di dalam dan luar negara memberi isyarat positif di luar jangkaan.

Indeks Harga Pengeluar (IPI) Malaysia, misalnya, sudah kembali mencatat pertumbuhan Oktober lalu, selepas menguncup sejak setahun lalu, didorong peningkatan pengeluaran komponen kecil perkilangan serta elektrik.



Di peringkat serantau, IPI China melonjak 19.2 peratus berbanding tahun sebelum, sekali gus mengejutkan pasaran, sementara eksportnya pula susut lebih rendah berbanding jangkaan. Walau begitu, muncul kebimbangan mengenai gelembung ekonomi di republik berkenaan, justeru menyebabkan ia bercadang untuk memperlahankan langkah pemberian pinjaman pada tahun depan.

Sementara itu, Jepun mengumumkan kadar keluaran negara kasar (KDNK) suku ketiga 2009 sebanyak 1.3 peratus, lebih rendah berbanding jangkaan. Namun, negara berkenaan dengan segera turut mengumumkan pakej rangsangan ekonomi baru bernilai 7.2 trilion yen (AS$80 bilion).

Minggu ini, aliran berita dan pergerakan pasaran antarabangsa, khususnya Amerika Syarikat (AS), akan terus mempengaruhi pergerakan bursa tempatan.

AS dijadual mengumumkan beberapa petunjuk ekonomi baru termasuk indeks perumahan dan permit bangunan pada minggu ini. Jangkaan awal menunjukkan berlaku peningkatan pada asas bulanan dan angka yang bakal diumumkan itu diramal tidak mengecewakan.

Rizab Persekutuan AS pula akan mengumumkan keputusan kadar faedah, Khamis ini, yang mana sebahagian besar menjangkakan bank pusat AS itu akan mengekalkan kadar semasa berdasarkan kenyataan Pengerusinya, Ben Bernanke, kepada Jawatankuasa Perbankan Senat, Disember lalu.

Dalam ketandusan petunjuk baru, pasaran tempatan dijangka terus mengukuh minggu ini dan pelabur seharusnya melihat situasi semasa sebagai peluang untuk mencari saham murah di bawah nilai serta saham bertahan yang memiliki prospek pertumbuhan, khususnya untuk melonjak pada separuh pertama tahun depan.

Pada masa sama, minat spekulatif dijangka tertumpu kepada kaunter berkaitan Kumpulan Naza susulan khabar angin bahawa kumpulan berkenaan akan mengadakan sidang akhbar minggu ini bagi menerangkan rancangan pembangunan RM15 bilion di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Secara umumnya, pada minggu ini FBM KLCI dijangka bergerak dalam jajaran terhad dalam minggu urus niaga yang pendek berikutan cuti umum Awal Muharam pada Jumaat. Paras sokongan penanda aras itu adalah pada 1,267 mata, sementara paras sokongan adalah pada 1,275 mata.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers