December 4, 2009

Kerja kami bukan bermusim – Yusli

PENURUNAN bilangan pelabur asing memasuki pasaran tempatan dilihat sebagai membimbangkan. Ini diakui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff.

Menurut beliau, amalan perhubungan pelabur (IR) boleh menjadi antara kaedah untuk menarik pelabur-pelabur asing yang kini beralih arah ke China dan Indonesia.

Katanya, tidak banyak syarikat besar tempatan mengamalkannya dalam usaha menjadikan mereka lebih menarik kepada pelabur asing yang kini mencari saham-saham berpotensi di Asia untuk dilabur.

‘‘Kita sebenarnya tidak kurang dengan syarikat berpotensi dan kini berkembang di peringkat serantau,

‘‘Tugas mempromosikan pasaran tempatan bukan hanya di bahu kami sahaja..Ia perlu dilihat secara menyeluruh iaitu bagaimana industri beroperasi,’’ kata beliau kepada wartawan Utusan, MOWARDI MAHMUD, AINUL ASNIERA AHSAN dan CYNTHIA YEOH dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur.

Yusli juga berkata, Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat tempatan adalah pihak yang perlu memainkan peranan utama menggalakkan IR.

Dalam pertemuan itu, Yusli turut membicarakan tentang prestasi semasa bursa, masalah yang dihadapi dan usaha yang dilakukan untuk mengembalikan semula kerancakan urus niaga dalam pasaran saham.


UTUSAN: Bagaimana Datuk melihat prestasi semasa pasaran saham tempatan?

YUSLI: Pada saya, gambaran yang boleh diberikan adalah tidaklah memberangsangkan tetapi tidaklah buruk sekali. Pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) Maxis Bhd., salah sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka tempatan, memberikan impak yang baik kepada pasaran tempatan. Kami turut menerima beberapa cadangan bagi IPO tahun depan.

Apakah masalah yang dihadapi pasaran sekarang berikutan krisis kewangan sejagat?

Pasaran saham tempatan berdepan dengan masalah pelabur-pelabur asingnya kehilangan minat untuk melabur. Penurunan yang ketara ini berlaku sejak pilihan raya lalu dan keadaan itu didapati masih belum lagi pulih. Ini merupakan satu perkara yang membimbangkan. Bagaimanapun, dalam satu aspek yang lain, saya ingin memuji tindakan kerajaan kerana melaksanakan langkah-langkah liberalisasi seperti mana diumumkan sebelum ini. Ia merupakan satu pengumuman yang positif, biarpun belum lagi nampak hasilnya, mungkin masih baru lagi.

Datuk ada menyebut tentang IPO baru tahun depan, berapa banyak yang disasarkan?

Susah hendak kami jangkakan, di dalam persekitaran ekonomi yang biasa, kami selalunya menerima antara 30 hingga 40 cadangan IPO. Namun begitu, kami bukan mengejar kepada bilangan tetapi sebaliknya saiz dan kualiti IPO itu sendiri. Kalau boleh, kami mahu saiz IPO yang besar, sekurang-kurangnya dengan modal pasaran yang bernilai RM1 bilion. Dalam hubungan ini, saya berpendapat adalah lebih baik menerima hanya 10 hingga 20 IPO bersaiz sederhana berbanding 100 IPO bersaiz kecil. Pasaran tempatan mementingkan saiz bukan kuantiti IPO tersebut. Untuk IPO pihak asing pula kami hanya menyasarkan lima hingga 10 IPO sahaja. Jumlah ini, sudah pun cukup baik.

Berbalik kepada persoalan hilangnya minat di kalangan pelabur asing, kenapa begitu?

Faktor utamanya adalah wujudnya persaingan. Rantau Asia menawarkan banyak peluang-peluang pelaburan khususnya di Asia Pasifik. Sekiranya pelabur mahu melabur tentunya pasaran yang lebih besar menjadi tumpuan mereka seperti China. China bukan sekadar memiliki pasarannya yang besar tetapi juga memiliki banyak syarikat-syarikat berpotensi berbanding Malaysia. Malah, boleh dikatakan Indonesia juga menjadi pesaing kepada Malaysia kerana jumlah penduduknya yang besar dan mempunyai potensi cukup baik pada masa depan. Inilah punca Malaysia semakin kurang daya tarikannya. Meskipun begitu, Malaysia sebenarnya masih lagi memiliki banyak syarikat yang tidak kurang hebat prestasinya, kini berkembang di pasaran serantau.

Apa kurangnya kita sehingga berlaku sedemikian?

Daripada aspek polisi kita menawarkan pakej yang baik dan lengkap, kita mempraktikkan tadbir urus, memiliki rangka perundangan yang melindungi para pelabur dan polisi pengagihan dividen yang bagus. Bagaimanapun, dalam aspek lain, apa yang perlu kita ketahui bahawa pelabur asing datang ke Asia mahu mencari syarikat-syarikat besar dan juga potensi pertumbuhan di rantau ini. Malangnya, pasaran kita pula mempunyai lambakan syarikat-syarikat kecil menjadikan pilihan yang boleh ditawarkan begitu terhad. Pelabur-pelabur luar memiliki pelbagai selera, ada antara mereka (jika melabur) mahukan pulangan yang stabil, ada yang menumpukan pertumbuhan dan juga melihat pengagihan dividen. Oleh sebab itu, pasaran kita perlu menawarkan ‘menu’ yang pelbagai kepada pelabur. Apa yang saya lihat adalah selera pelabur kini lebih tertumpu kepada melabur dalam syarikat besar, inilah kekurangan kita.

Bagaimana usaha Bursa Malaysia mengatasi masalah ini?

Kami secara berterusan telah mempromosikan pasaran dan profil syarikat-syarikat tempatan secara agresif dalam usaha menarik perhatian pelabur asing. Kerja ini tidak dilakukan secara bermusim seperti buat setahun kemudian rehat.

Tetapi, ada pihak mendakwa Bursa Malaysia tidak bersungguh- sungguh mempromosikan pasaran tempatan?

Tugas ini sepatutnya bukan hanya diletak pada bahu kami sahaja. Ia perlu dilihat secara menyeluruh iaitu bagaimanakah industri ini sepatutnya beroperasi. Tanggungjawab utama Bursa Malaysia adalah menyediakan platform untuk penyenaraian dan juga urus niaga. Ia adalah memenuhi keperluan mereka yang mahu membuat penyenaraian dan juga pelabur yang mahu melabur. Kami (Bursa Malaysia) perlu juga mempromosikan pasaran secara keseluruhannya, bukan hanya syarikat-syarikat tertentu. Selain bursa, broker saham, peniaga dan penganalisis juga mempunyai peranan. Penganalisis menyediakan laporan penyelidikan dan mengesyorkan saham perlu dibeli atau dijual. Peniaga dan broker pula mempromosi saham.

Jadi apakah sebenarnya masalahnya?

Sebenarnya, syarikat-syarikat tempatan juga perlu mempunyai dan mempraktikkan amalan perhubungan pelabur (IR), kepada pelabur-pelaburnya dan juga media tentang perniagaan yang dijalankan. Syarikat ini perlu memainkan peranan utama dalam memperkenalkan dirinya dan merancakkan lagi urus niaga di pasaran. Setiap syarikat penting sekali mempunyai aktiviti IR yang tersusun.

Bukankah tugas itu dipikul oleh penganalisis pasaran?

Penganalisis pasaran pada kebiasaannya akan memberi maklumat mengenai prospek perniagaan sesebuah syarikat. Daripada maklumat itu, mereka sepatutnya mampu menimbulkan persepsi kepada para pelabur.

Apa yang Datuk lihat sebagai sedang berlaku sekarang?

Setakat ini, saya melihat banyak syarikat besar tempatan telah menjalinkan hubungan dengan para penganalisis tetapi ia masih lagi bukan melibatkan semua (syarikat besar yang ada). Perhubungan itu juga perlu melibatkan peringkat pihak pengurusan tertinggi dan juga Lembaga Pengarah syarikat. Pada kebiasaannya, saya melihat syarikat yang tidak mempunyai ikutan (pelabur) yang kuat, aktiviti IRnya begitu lembap tetapi memiliki ikutan yang ramai tidak bermakna harga saham sesebuah syarikat itu tinggi. Para pelabur mahukan Lembaga Pengarah syarikat yang dilabur dapat mengenal pasti prospek, masa depan syarikat. Secara realitinya, jika sesebuah syarikat itu mempunyai potensi yang baik, para penganalisis akan berlumba-lumba untuk menyalurkan maklumat, sekali gus membolehkan broker meraih pendapatan. Ini kerana broker pula hanya boleh menjana pendapatan melalui aktiviti dagangan dan proses jual beli saham ini yang hanya boleh berlaku jika sesebuah syarikat itu mampu menarik minat pelabur membelinya.

Jadi aktiviti IR penting kepada Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat?

IR adalah cara Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat menghargai para pelaburnya. Mereka perlu memastikan keteguhan syarikat supaya para pelabur mempunyai minat yang tinggi terhadap nilai syarikat. Ini kerana kekayaan pelabur bergantung kepada nilai sesebuah syarikat yang dilabur.

Namun begitu, terdapat mereka yang mengambil persepsi dan tanggungjawab mengikut kepentingannya dalam syarikat. Sekiranya ahli Lembaga Pengarah atau pengurusan tertinggi mempunyai pegangan saham, mereka akan berusaha memastikan nilai syarikat sentiasa tinggi dan begitu sebaliknya. Bagaimanapun, kebanyakannya tidak ambil peduli sedangkan peranan mereka adalah memastikan nilai harga saham mewakili nilai syarikat. Sebagai contoh, potensi syarikat A bernilai RM1 bilion tetapi jika prestasi syarikat ini tidak dipantau sebaik mungkin, nilainya mungkin susut kepada RM6 juta, siapa yang rugi, sudah tentulah pemegang saham syarikat itu. Lebih mendukacitakan, lembaga pengarah masih dibayar gaji yang sama meskipun mereka gagal mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI). Syarikat yang mempunyai pengurusan kukuh sering kali mampu menarik minat pelaburan asing jauh lebih tinggi.

Kenapa IR kurang diberikan perhatian?

Keadaan ini berlaku kerana tiada penyelarasan terhadap apa kehendak para pemegang saham dengan pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan syarikat. Para pemegang saham sepatutnya mempersoalkan nilai syarikat yang dilaburkan terutama pada mesyuarat agung tahunan. Jika pihak pengurusan gagal menjawab soalan itu, para pemegang saham boleh mempersoalkan kedudukan pihak pengurusan, malah bertindak lebih jauh lagi dengan gugurkan mereka. Pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya mempertahankan nilai syarikat. Kalau mereka memusnahkan nilai yang dipegang oleh pelabur, pemegang saham yang akan menanggung kerugian.

Adakah wujud keberanian itu di kalangan pemegang saham?

Mungkin, tetapi mereka perlu bertanyakan soalan yang betul. Selalunya Kumpulan Pengawas Pemegang Saham Minoriti (MSWG) yang memainkan peranan ini. Secara asasnya kenapa pelabur membeli saham sama ada untuk jangka pendek ataupun jangka panjang? Jawapannya, ia bertujuan mendapatkan pulangan dan pulangan itu hanya boleh diharapkan kepada saham-saham berprestasi tinggi. Sebab itu, apabila sesuatu saham menunjukkan prestasi mengagumkan, pelabur sanggup untuk memegangnya selama 10 tahun, bukan semata-mata mahu melihat pergerakan sebanyak satu sen setahun atau satu sen sebulan, tetapi dividen

Bagaimana IR boleh berperanan secara berkesan ketika pasaran masih belum pulih?

Ia bukan satu masalah kerana kebiasaannya syarikat yang memiliki model perniagaan yang baik, berpotensi besar sentiasa berhubung dengan para pelaburnya. IR adalah sebahagian daripada keperluan yang perlu dipenuhi oleh syarikat kepada para pelaburnya.

Apakah trend pelabur tempatan masih sama?

Tidak, apa yang saya lihat sekarang kebanyakan pelabur lebih gemar berurus niaga secara dalam talian (online). Jumlah pelabur baru di kalangan generasi muda juga semakin meningkat, ini satu perkembangan positif dan menggalakkan memandangkan urus niaga seumpama ini masih baru di Malaysia.

Ekonomi global semakin pulih, adakah Datuk percaya dengan tanda-tanda pemulihan awal ini

Saya tidak menafikan terdapat tanda-tanda pemulihan yang jelas terutama di rantau Asia. Bagaimanapun, sejauh mana pemulihan mampu dipertahankan masih samar-samar lagi. Bagaimanapun, pada pandangan saya, masa inilah waktu terbaik untuk pelabur melihat semula peluang yang boleh direbut di pasaran.

Setelah lebih lima tahun menerajui Bursa Malaysia, apakah lagi perkara yang mahu Datuk terus lakukan?

Saya akan terus bekerja keras untuk menarik pelabur asing ke Malaysia. Bagi saya, Malaysia masih mempunyai ‘permata’ dan ‘cerita-cerita menarik’ yang belum dijual sepenuhnya dan saya akan terus menjajanya, Ini bukan semata-mata untuk meningkatkan pendapatan, sebaliknya mahu memastikan pasaran tempatan terus berada di dalam senarai destinasi pelaburan pelabur asing.

Adakah Bursa Malaysia mempunyai strategi tertentu?

Bursa Malaysia akan terus melakukan usaha-usaha promosi secara agresif. Dan, setakat ini kita tidak pernah terlepas peluang mengambil bahagian dalam misi perdagangan. Kita tidak mahu para pelabur terus melupakan kewujudan kita. Itu matlamat kita.

Bagaimana Datuk melihat pencapaian sendiri sepanjang berada di Bursa Malaysia?

Adalah tidak adil untuk saya mengadili prestasi sendiri. Tanyalah kepada kakitangan Bursa Malaysia, tetapi sebagai pemimpin, sudah tentu saya mahukan terbaik.

Bolehkah Datuk nyatakan impian dan azam untuk tahun depan?

Saya mahu melihat lebih banyak syarikat besar dalam pasaran tempatan. Lebih banyak aktiviti pembelian dan pengambilan alih (M&A) berlaku sepanjang tahun depan kerana proses itu akan merancakkan dan menggegarkan semula pasaran tempatan yang agak ‘dingin’ pada tahun ini. Kepada syarikat-syarikat tersenarai, saya mahu aktiviti IR diperhebatkan bagi mengembalikan semula para pelabur ke Bursa Malaysia

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers