September 5, 2009

KWSP raih pendapatan pelaburan RM4.8 bilion

Oleh Ahmad Fiesal Othman
fsal@bharian.com.my

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meraih pendapatan pelaburan sebanyak RM4.8 bilion dalam tempoh suku kedua berakhir 30 Jun lalu, iaitu peningkatan 46.64 peratus berbanding RM3.27 bilion diraihnya pada suku pertama.

Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Azlan Zainol, berkata pendapatan pelaburan lebih tinggi itu hasil peningkatan prestasi dalam pelaburan ekuiti susulan keadaan pasaran global serta domestik yang semakin baik.

Beliau berkata, dalam suku kedua itu, indeks ekuiti global utama mula menunjukkan tanda akan pulih dari kemelesetan, terutama di negara di mana KWSP melabur.

“Walaupun masih terlalu awal untuk berasa selesa, jika arah aliran ini berterusan atau sekurang-kurangnya kekal pada tahap semasa, KWSP yakin sejumlah besar peruntukan susut nilai pelaburan ekuiti yang telah dibuat KWSP pada 2008 akan dapat diraih semula,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam tempoh suku kedua lalu, ekuiti mencatatkan peningkatan tertinggi dari segi sumbangan kepada pendapatan KWSP dengan mencatatkan pulangan RM1.74 bilion, meningkat tujuh kali ganda berbanding RM239.55 juta pada suku pertama.

Bagaimanapun, pinjaman dan bon adalah penyumbang pendapatan tertinggi dengan pulangan RM1.81 bilion kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP dalam tempoh kajian berbanding RM1.78 bilion pada suku sebelumnya.

KWSP mengekalkan profil berisiko rendah dengan meneruskan dasar yang mana sebahagian besar pinjaman dan bon dilaburkan dalam syarikat bergred tinggi dengan penarafan kredit AAA atau AA.

Sekuriti Kerajaan Malaysia juga adalah satu daripada penyumbang tertinggi kepada pendapatan pelaburan KWSP dalam tempoh kajian dengan peningkatan RM83 juta kepada RM1.11 bilion berbanding suku sebelumnya.

Sementara itu, Instrumen Pasaran Wang mencatatkan pendapatan RM94.27 juta, menurun 21.51 peratus berbanding RM120.11 juta pada suku sebelumnya.

Pelaburan hartanah menyumbang RM20.81 juta, meningkat sedikit berbanding RM20.63 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya.

Azlan berkata, walaupun sudah ada tanda menunjukkan pasaran global semakin stabil, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan bagaimana ia akan memberi kesan terhadap pelaburan KWSP untuk baki tahun ini.

Beliau berkata, KWSP sentiasa berwaspada bahawa keadaan boleh berubah pada bila-bila masa dan setiap keputusan mesti dibuat dengan berhati-hati demi menjaga kepentingan ahli KWSP.

“Bagaimanapun, sebagai pelabur jangka panjang dan pemegang amanah kepada lebih RM350 bilion dana persaraan, KWSP akan terus mengambil langkah proaktif demi meningkatkan nilai simpanan ahli dan pada masa sama mengekalkan pendekatan berkhemah,” katanya.

Fund Price

About Me

My photo
Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;

music


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Followers