Rancang dana persaraan sebelum berumur 30 tahun
(Dipetik drpd. rencana Utusan Malaysia)
JIKA anda berusia kurang daripada 30, besar kemungkinan anda belum memikirkan tentang persaraan anda. Dan tiada sebab untuk anda merancang sejauh itu?
Persaraan adalah sesuatu yang sangat jauh ke hadapan dan apabila masa itu tiba, anda menyangka anda sudah meraih sejuta ringgit dan hidup dalam kegembiraan? Salah.
Realitinya sangat berbeza seperti berikut:
1. Walaupun persaraan seperti dilihat masih jauh lagi, sebenarnya tidak.
2. Sejuta ringgit memang jumlah wang yang besar, tetapi hanya segelintir daripada kita akan memiliki simpanan sebanyak itu.
3. Selepas bersara, kebanyakan kita akan hidup selama 20 hingga 25 tahun lagi tanpa sebarang pendapatan.
4. Inflasi akan menghakis kuasa membeli simpanan anda.
5. Secara purata, seorang yang bekerja dan mempunyai simpanan persaraan sebanyak RM100,000, akan membelanjakan duit tersebut dalam tempoh 10 tahun saja.
Panik? Jangan. Mengambil berat? Ya.
Rakyat Malaysia harus memikirkan dengan serius tentang simpanan bagi persaraan masing-masing dan mengambil langkah proaktif untuk membuat perancangan mengenainya termasuk mereka berusia kurang daripada 30 tahun atau baru memulakan kerjaya.
Ketika ini, sebahagian besar pekerja sektor swasta di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk persaraan mereka. KWSP adalah skim tabungan yang mewajibkan ahli menyimpan sekurang-kurangnya 11% daripada pendapatan bulanan mereka dan 12% daripada majikan mereka. Ini bermakna 23% daripada pendapatan seseorang disimpan setiap bulan dalam akaun KWSP masing-masing. Kadar caruman 23% ini hanya kadar yang diwajibkan. Ahli dan majikan atau kedua-duanya boleh menyimpan melebihi kadar tersebut.
Berdasarkan rekod KWSP, purata simpanan seorang ahli KWSP adalah RM100,000 apabila mencapai usia 54 iaitu setahun sebelum bersara. Bagaimanapun, sebahagian besar pesara didapati menghabiskan keseluruhan wang itu dalam tempoh kurang daripada 10 tahun.
Purata jangkaan hayat rakyat Malaysia pada umur 55 tahun ialah : 83 tahun untuk wanita dan 78.6 tahun untuk lelaki.
Bayangkan jika seseorang itu bersara pada umur 55 tahun dan menghabiskan simpanan KWSP dalam tempoh 10 tahun. Bagaimana mereka membiayai kehidupan selama 13 hingga 18 tahun lagi?
Selain daripada jumlah simpanan yang ada ketika bersara, faktor-faktor berikut juga perlu diambil kira:
1. Inflasi dan peningkatan kos sara hidup
Jika anda seorang kanak-kanak pada 70-an dan 80-an, anda mungkin pernah mendengar ibu bapa anda mengatakan, “Bila saya mendapat gaji pertama, saya berikan semuanya kepada emak, dan emak berikan saya RM50 untuk dibelanjakan.”
Bagus sekali. Daripada muda lagi telah mula menabung tetapi persekitaran sekarang adalah berbeza. Cara hidup dan keperluannya telah berubah. Dalam lain perkataan, golongan muda hari ini perlu mengeluarkan banyak wang untuk kehidupan harian berbanding ibu bapa mereka.
2. Perubahan norma sosial
Walaupun era memberikan seluruh gaji kepada emak anda mungkin sudah berlalu, pekerja muda hari ini masih memberikan sejumlah kecil gaji mereka kepada ibu bapa mereka sebagai penghargaan.
Bagaimanapun, aliran ini akan berubah bagi generasi akan datang. Hari ini, lebih ramai orang berkahwin dan mempunyai anak pada usia yang lebih tua, sekali gus menyebabkan mereka mempunyai anak kecil untuk dibiayai termasuk bagi perbelanjaan pendidikan anak- anak walaupun mereka sudah mencecah usia persaraan.
3. Kos dan keperluan perubatan
Semakin kita tua, semakin kita memerlukan rawatan perubatan. Kos perubatan pula semakin meningkat dengan mendadak. Kita akan menghadapi kesulitan kewangan untuk membiayai rawatan perubatan terutama golongan yang tidak mempunyai insurans perubatan.
Jika semua faktor ini diambil kira, kemungkinan besar simpanan KWSP kebanyakan ahli tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan persaraan mereka. Jalan penyelesaiannya ialah berusaha meningkatkan simpanan untuk persaraan mengikut kemampuan masing-masing.
Tetapi bagaimana?
Menabung! Menabung! Menabung! Sebenarnya tiada jalan mudah. Menabung sebahagian pendapatan bulanan anda dengan tujuan persaraan dan tidak membelanjakan simpanan tersebut sebelum anda bersara membolehkan anda memiliki simpanan dalam jumlah yang lebih besar untuk persaraan.
Disiplin diri sangat penting. Anda harus menetapkan sasaran simpanan setiap bulan. Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan perlu seperti hutang rumah dan kereta, insurans, makanan, pengangkutan dan lain- lain.
Kemudian tentukan jumlah yang akan disimpan setiap bulan. Pastikan anda berdisiplin dalam soal simpanan ini. Apabila anda mendapat gaji, keluarkan jumlah yang ditetapkan dan masukkan ke dalam akaun simpanan itu.
Katakan anda tinggal dengan ibu bapa anda dan mempunyai pendapatan bersih kira-kira RM2,500 sebulan. Anda perlu membayar ansuran pinjaman kereta, bayaran skim insurans, membayar bil telefon mudah alih, memberikan sejumlah kecil kepada ibu bapa anda setiap bulan, selain membantu membayar dua atau tiga bil di rumah. Anda mungkin boleh membuat perkiraan seperti ini:
Baki gaji anda pada setiap akhir bulan adalah RM570. Daripada berbelanja wang berkenaan secara tidak berfaedah, mengapa tidak anda menyimpan sebanyak RM200 atau lebih untuk masa depan anda?
Jika anda mempertimbangkan untuk menyimpan RM200 sebulan bagi keseluruhan tempoh kerjaya anda, katakanlah selama 30 tahun, jumlah keseluruhan simpanan anda ialah RM72,000. Jika dicampur faedah ke atas simpanan tersebut, jumlah ini dengan mudah akan berganda kepada RM144,000 apabila anda bersara. Dicampur dengan simpanan KWSP sebanyak RM100,000, anda akan bersara dengan lebih selesa.
Anda juga tidak harus lupa bahawa wang yang disimpan akan bertambah dan apabila ia bertambah, anda perlu bijak untuk menabung dan di mana ia harus dilaburkan.
Mempelbagaikan saluran simpanan memerlukan anda membuat keputusan yang bijak. Bertanya dan belajar mengenai manfaat menyimpan wang dalam simpanan tetap dalam institusi kewangan terkemuka atau melabur dalam saham amanah.
Anda juga boleh membeli insurans yang memberikan perlindungan sepanjang hayat, kemalangan, perubatan, endowmen, dan juga pendidikan untuk anak-anak. Jika anda memiliki insurans tersebut, anda tidak perlu mengeluarkan simpanan KWSP bagi membiayai kos perubatan yang tidak dijangka atau membayar yuran pendidikan tinggi anak-anak di kemudian hari.
Ini akan memastikan simpanan KWSP untuk persaraan adalah lebih besar nilainya.
Hartanah juga satu bentuk pelaburan yang baik dan harus dipertimbangkan selepas seseorang mempunyai simpanan yang mencukupi.
Walaupun KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan daripada Akaun II untuk membeli rumah, adalah lebih bijak wang simpanan KWSP anda tidak dikeluarkan jika anda mampu mendapatkan pembiayaan perumahan daripada bank.
Persaraan dan perancangan kewangan memerlukan banyak pertimbangan, perancangan dan disiplin. Menabung ketika memulakan kerjaya pada usia muda akan memudahkan dan mengurang beban pada kemudian hari.
Walaupun menabung wang bukan sesuatu yang mudah terutama dengan pelbagai tarikan daripada pasaran pengguna, ia adalah kaedah yang membolehkan anda bersara dengan lebih selesa. Kepada mereka yang berhadapan dengan masalah untuk menabung, terdapat satu lagi pilihan akhir yang mudah bagi memastikan anda mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara iaitu bersaralah pada usia 75 tahun!
December 30, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com
No comments:
Post a Comment