INDEKS Komposit Kuala Lumpur (KLCI) meningkat sebanyak 14.65 mata, atau 1.4 peratus minggu lalu untuk ditutup pada 1,090.15 mata, berada pada paras selesa melebihi 1,078 mata. Peningkatan dalam saham perbankan seperti Maybank (+4.51 mata), Public Bank (+1.35), BCHB (+1.3), RHB Capital (+1.02) dan EON Capital (+1.01) menyumbang kepada peningkatan indeks sebanyak 63 peratus.
Purata dagangan dan nilai urus niaga harian terus bertambah baik dan masing-masing meningkat kepada dua bilion saham bernilai RM1.72 bilion berbanding dengan purata 1.78 bilion saham bernilai RM1.59 bilion dalam minggu sebelumnya.
Indeks penanda aras terus meningkat ke arah untuk melepasi paras halangan psikologi pada 1,100 mata dipacu oleh faktor luaran yang mana pasaran sudah memberikan reaksi kepada tanda pemulihan ekonomi dari China serta petanda yang menunjukkan sektor perbankan di Amerika Syarikat (AS) mulai stabil dengan 10 bank di negara itu berikrar untuk memulangkan semula wang menyelamat berjumlah AS$68 bilion kepada kerajaan.
Risiko tinggi berkaitan pasaran ekuiti mula menyaksikan sedikit pengurangan apabila pelabur kini menjadi lebih optimistik bahawa keadaan kemelesetan yang buruk sudah ditinggalkan di belakang manakala pemulihan pula dijangkakan menjelang akhir tahun ini.
Sektor perbankan yang menjadi tunjang utama kepada kisah pemulihan ekonomi kini berada pada tahap optimis yang tinggi selain mempunyai mudah tunai yang banyak.
Harga minyak mentah yang lebih kukuh dan meningkat melebihi paras AS$73 setong minggu lalu atas berita yang menyatakan Agensi Tenaga Antarabangsa menaikkan unjuran penggunaan kepada 120,000 tong sehari bagi 2009, dapat membantu saham berkaitan minyak dan gas meningkat melebihi pasaran secara keseluruhan dan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kaunter perladangan seperti Sime Darby dan IOI Corporation.
Jumaat lalu, Murphy Oil Corp mengumumkan syarikat itu sudah membuat dua penemuan tambahan telaga minyak di luar pesisir Malaysia, satu daripadanya berhampiran lapangan minyak Kikeh dan satu lagi di East Patricia di Block SK 309, luar pesisir Sarawak, yang dijangka akan terus menambahkan minat dalam sektor itu.
Beberapa ketua eksekutif syarikat tersenarai yang ditemui pada persidangan minyak dan gas di Kuala Lumpur minggu lalu mendedahkan bahawa perniagaan masih lagi kukuh seperti biasa dan tempahan dijangka meningkat dalam separuh kedua memandangkan harga minyak mentah berlegar sekitar AS$70 hingga AS$80 setong.
Pasaran juga tertunggu-tunggu pengumuman berhubung langkah menjadikan pasaran lebih mesra pelabur dan usaha liberalisasi ekonomi pada acara Invest Malaysia 2009 akhir bulan ini.
Sektor pembinaan dan bahan binaan sudah bersedia menerima manfaat daripada sebarang aliran berita positif dan dijangka menarik minat belian minggu ini.
Dari segi tinjauan pasaran pula, KLCI dijangka meneruskan aliran meningkat minggu ini, dan dengan kembalinya pelabur dari cuti sekolah selama dua minggu ia dijangka dapat memacu nilai dagangan harian melebihi paras dua bilion saham.
Namun begitu, pelabur harus berhati-hati dengan peningkatan momentum pembelian jangka pendek secara berlebih-lebihan yang akan menggalakkan pengambilan untung. Dari segi pemilihan sektor pula, pelabur dinasihatkan kekal kepada saham berkaitan minyak dan gas yang dijangka mengekalkan aliran meningkat yang kukuh apabila harga minyak mentah kekal kukuh pada paras melebihi AS$70 setong.
Minat juga akan beralih kepada saham pembinaan dan hartanah, khususnya dalam saham syarikat yang terbabit dengan projek Iskandar Malaysia atas harapan ada pengumuman mengenai lebih banyak projek akan diwujudkan susulan hubungan lebih baik Malaysia-Singapura selain minat ke arah membina jambatan ketiga menghubungkan Singapura dan timur Johor. Bagi KLCI pula, ia dijangka bergerak daripada paras rintangan psikologi pada 1,100 mata kepada 1,120 mata.
June 15, 2009
Fund Price
About Me
- Nuang
- Ibrahim bin Ramli@Nuang started his career with CIMB Wealth Advisors Berhad as Agency Manager in April, 2008.Previously he was an Internal Auditors and Accounts Executive with Perodua Sales Sdn Bhd since 17 August, 1994. His background:- 1.Certified of Achievement for Master Sales Leadership from Dr Lawrence Walter Ng of President of The Art Of Learning and International Of Learning Without Learning 2.Certified for eXtra Ordinary Performance of Lawrence Walter Award Certificate for One Million Ringgit Club 2007 3. Certified Life & General insurances 4. Conferred with Diploma in Business Studiess & Bachelor of Business Admin(Hons)Finance from UiTM, Terengganu Branch & Shah Alam respectively;
music
Create a playlist at MixPod.com