PENERBANGAN Malaysia (MAS) yakin mampu terus ‘bertahan’ di sebalik tempoh sukar ketika ini dan persaingan sengit industri penerbangan, kata Pengerusinya Tan Sri Dr Munir Majid. Beliau berkata, syarikat penerbangan kebangsaan itu mencatatkan prestasi menggalakkan meskipun keadaan ekonomi global yang suram ketika ini.
“Pemilihan sebagai antara tiga syarikat penerbangan utama dari segi kekuatan kewangan dan keupayaan mengharungi cabaran oleh majalah Aviation Week menunjukkan bahawa MAS mampu mengekalkan prestasi baik berbanding syarikat penerbangan lain,” katanya selepas pelancaran menu ‘Tun Abdul Razak’ untuk hidangan dalam pesawat di Cyberjaya, semalam.
Beliau berkata, MAS akan terus menambah baik perkhidmatan makanan dalam pesawatnya dengan memperkenalkan sajian baru dan lebih menarik sejajar dengan Pelan Transformasi Perniagaan (BTP2) dan meningkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan.