SHELL Malaysia Trading Sdn Bhd (Shell Malaysia) akan menjual petrol Shell Tanpa Plumbum RON95 di semua 900 stesen minyaknya seluruh negara menjelang 1 September ini bagi menyokong langkah kerajaan memperkenalkan petrol itu kepada pengguna pada tarikh berkenaan.
Shell Malaysia adalah syarikat minyak kedua di negara ini yang menjual petrol itu selepas Petronas Dagangan Bhd yang kini mempunyai tiga stesen menawarkan petrol RON95. Petrol RON95 yang dijual pada RM1.75 seliter adalah bahan bakar selamat dan sesuai digunakan hampir semua jenis kereta dengan menepati spesifikasi Euro 2 serta mesra alam sekitar.
Pengarah Urusannya, Datuk Mokhzani Abdul Wahab, berkata, Shell Malaysia mensasarkan sejuta pemilik kenderaan akan menggunakan petrol itu yang akan menggantikan petrol RON92 menjelang akhir September.
“Pengenalan petrol Shell tanpa plumbum RON95 di stesen minyak sulung yang menawarkan bahan bakar ini adalah langkah pertama kami untuk menyokong hasrat kerajaan,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran petrol Shell tanpa plumbum RON95 di Shah Alam, semalam.
Petrol Shell Tanpa Plumbum RON95 kini dijual di Stesen Alisha di Batu 3, Lebuhraya Persekutuan menghala Klang bermula 8 Julai lalu.
Pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan Timbalannya, Datuk Tan Lian Hoe. Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Zain Mohd. Mokhzani berkata, buat masa ini pihaknya menerima maklum balas memberangsangkan daripada pemilik kenderaan yang pernah menggunakan petrol RON95 di stesen terbabit.
Katanya, Shell Malaysia merancang memperkenalkan satu lagi stesen yang menjual bahan bakar terbabit menjelang minggu pertama bulan depan. “Selepas itu, kami akan memperkenalkan petrol RON95 ke 900 stesen Shell di seluruh Malaysia menjelang tarikh pelaksanaannya ke seluruh negara pada 1 September nanti,” katanya.
Beliau menjelaskan, Shell Malaysia sudah melaksanakan program pengenalan petrol RON95 ke seluruh negara bermula awal bulan ini dengan mengedarkan risalah yang mengandungi maklumat mengenai bahan bakar itu kepada pengguna.
Mokhzani menambah, Shell Malaysia akan memperkenalkan diesel baru, Euro 2M kepada pengguna pada Disember ini pada harga sama dengan diesel semasa. Sementara itu, Ismail Sabri berkata, penerimaan pengguna terhadap petrol RON95 adalah sangat memberangsangkan dengan perangkaan menunjukkan 65 peratus pengguna RON97 di Putrajaya beralih menggunakan RON 95 manakala di Kepong pula sebanyak 90 peratus.
Petronas mempunyai dua stesen di Putrajaya yang menawarkan petrol RON95 dan sebuah lagi terletak di Kepong. Mengenai kemungkinan harga petrol RON95 akan meningkat, Ismail Sabri berkata tiada sebarang petunjuk mengenainya buat masa ini.