KUALA LUMPUR 27 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) diramal mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa iaitu dua peratus, sejajar dengan jangkaannya pemulihan ekonomi negara pada separuh kedua tahun ini.
Para penganalisis ekonomi tempatan yakin bank pusat itu tidak akan mengambil langkah meningkatkan polisi monetarinya kerana Malaysia telahpun mengalami deflasi pada bulan lalu.
Malah, mereka meramalkan OPR semasa akan kekal sehingga terdapat petunjuk pemulihan ekonomi.
Ketua Pegawai Pelaburan ASM, Rusli Abu Yamin berkata, kadar OPR sedia ada sudah cukup untuk membolehkan penyelarasan dalam aktiviti ekonomi.
Beliau berkata, dalam situasi sekarang penurunan OPR bukan keutamaan sebaliknya tumpuan terhadap polisi fiskal.
''Kadar inflasi tidak tinggi dan kos meminjam juga rendah, kecairan juga banyak. Jadi sekarang memang tidak ada masalah.
''Masalah akan banyak timbul sekiranya OPR terus diturunkan. Lagipun kedudukan mata wang ringgit kini di bawah tekanan, kadar faedah bagi pendeposit juga rendah,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jawatankuasa Dasar Monetari dijangka bermesyuarat kali kelima pada Rabu ini.
BNM sebelum ini telah mengurangkan OPR sebanyak 150 mata asas antara bulan November 2007 hingga Februari lalu.
Sementara itu, Pakar Ekonomi Kanan Bank Islam, Azrul Azwa percaya BNM akan mengekalkan OPR pada kadar semasa dan ia akan dikekalkan sehingga separuh pertama 2011.
''Meskipun ekonomi akan kembali pulih, tetapi pemulihan yang sederhana. Oleh itu ia memerlukan satu polisi kukuh untuk menyokongnya,'' menurutnya.
OSK Research dalam nota penyelidikannya berkata, meskipun akan berlaku tekanan harga dalam tempoh dua bulan akan datang berikutan kenaikan tambang pengangkutan awam dan perubahan harga dalam minyak petrol tetapi keadaan itu tidak akan mendorong kenaikan kadar inflasi.
''Kami berpendapat bank pusat akan hanya menimbang untuk meningkat OPR apabila ada petunjuk pertumbuhan ekonomi semula.
''Dalam keadaan sekarang OPR semasa adalah lebih baik dikekalkan,'' ujarnya.