NILAI industri farmaseutikal tempatan dijangka melepasi RM1.2 bilion tahun ini, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili. Beliau juga berkata, menjelang 2020, sektor bioteknologi dijangka mewujudkan 280,000 pekerjaan dan menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
Ongkili dalam ucaptama di Bengkel Sitometri Asean di Kuala Lumpur, semalam berkata, bengkel berkenaan, yang pertama dari siri-sirinya untuk Asean, adalah inisiatif terbaik untuk mengemaskinikan komuniti penyelidikan tempatan mengenai perkembangan terbaru dalam peralatan dan aplikasi bioteknologi.
“Bengkel ini adalah program penanda dalam pembangunan teknik sitometri bagi penyelidikan dan pembangunan serta aplikasi klinikal. “Inisiatif seumpama ini akan meningkatkan dan merancakkan usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi untuk industri kesihatan dan bioteknologi di Malaysia,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Madinah Mohamad. Bengkel itu yang bermula hari ini hingga 31 Julai, akan menyaksikan pakar dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan India berkongsi pengetahuan dengan 40 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Singapura.
Ia dianjurkan bersama Stempeutics Research Malaysia Sdn Bhd, Institut Penyelidikan Perubatan, Inno Bio Diagnostics Sdn Bhd dan Miller School of Medicine, University of Miami. Objektif bengkel itu ialah untuk menemukan pakar dalam sitometri aliran dengan mereka yang berminat dengan sitometri aliran dan menggunakannya dalam amalan penyelidikan atau klinikal mereka.
Sitometri aliran ialah antara peralatan paling berkuasa untuk penyelidikan dan aplikasi klinikal. Sementara potensi sepenuhnya teknologi itu belum lagi difahami, aplikasinya terus berkembang dalam pelbagai bidang kesihatan, pertanian, marin, bioteknologi, sel stem, kanser, penyakit berjangkit dan banyak lagi.
Ia turut menyediakan platform untuk latihan, mendapatkan pengetahuan lanjutan dan perbincangan untuk aplikasi dan masalah serta idea baru. Bengkel ini dijangka memberikan penyelidik Malaysia peluang untuk mewujudkan kerjasama penyelidikan dengan pakar dalam pelbagai bidang biologi.
“Adalah diharapkan yang bengkel ini akan membantu menjadikan Malaysia sebuah hab serantau untuk rawatan dan terapi perubatan berasaskan sel berkualiti,” katanya. - Bernama