GOLDIS Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Goldis Water Pte Ltd memperoleh konsesi rawatan air kumbahan bernilai RMB26.8 juta (RM13.8 juta) di bandar raya Zou Cheng, Wilayah Shangdong, China.
Goldis Water akan mengendalikan konsesi selama 25 tahun itu menerusi sebuah syarikat khas, Zoucheng Xincheng Waste Water Co Ltd dengan konsep bina, urus dan pindah (BOT). Ia juga membangunkan dan menyenggara loji rawatan air kumbahan di Taman Perindustrian Zou Cheng.
Pengarah Zoucheng Xincheng, Lee Choon Kok, berkata loji rawatan air kumbahan itu mampu merawat 80,000 meter padu air kumbahan sehari dengan keupayaan fasa awalnya adalah 20,000 meter padu sehari.
Beliau berkata, berkata projek itu bakal menyediakan asas kukuh bagi membantu menyemarakkan lagi pembangunan ekonomi di Taman Perindustrian Zou Cheng yang kini menempatkan kira-kira 400 syarikat.
“Projek itu dijangka dimulakan Ogos ini dan dijangka siap dan memulakan operasinya menjelang akhir tahun depan,” katanya kepada pemberita pada majlis memeterai perjanjian persefahaman antara Zoucheng Xincheng dengan Jawatankuasa Pengurusan Taman Perindustrian Zou Cheng di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Zou Cheng, JIan Guo.
Goldis ialah satu-satunya syarikat tersenarai di Papan Utama Bursa Malaysia yang perniagaan terasnya adalah pelaburan ekuiti swasta. Ia menumpukan pelaburannya dalam bidang seperti penjagaan kesihatan, pembangunan dan pelaburan hartanah, teknologi maklumat dan komunikasi, pengeluaran kertas, perkhidmatan rawatan air dan akuakultur organik dengan tumpuan terhadap pasaran sedang membangun di Malaysia dan sekitar Asia.
Antara anak syarikatnya yang berjaya ialah Hoe Pharmaceutical Sdn Bhd, Macro Kiosk Bhd, Crest Spring (Shanghai) Co Ltd dan Manax Ltd. Lee berkata, kontrak terbaru itu adalah konsesi rawatan air kumbahan ketiga yang diraih Goldis di China yang mana sebuah lagi anak syarikatnya, Crest Spring kini sedang mengendalikan dua konsesi rawatan air kumbahan masing-masing di wilayah Shangdong dan Jiangsu, juga berasaskan konsep BOT.
Beliau berkata, syarikat itu juga sedang membida beberapa lagi projek rawatan air kumbahan di China membabitkan kawasan penempatan dan taman perindustrian dengan keupayaan merawat antara 60,000 hingga 100,000 meter padu air kumbahan sehari. “Buat masa ini, kami hanya menumpu untuk membida projek rawatan air kumbahan di China,” katanya.