ASM Investment Services Bhd, anak syarikat milik penuh Amanah Saham Mara Bhd akan melancarkan dua dana amanah baru, iaitu yang berkonsepkan dana pemulihan dan berstruktur syariah selewat-lewatnya September ini.
Ketua Eksekutifnya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff, berkata pihaknya berbincang dengan beberapa institusi kewangan lain bagi pelancaran dana amanah berkenaan. “Bagi dana amanah berkonsepkan pemulihan, kami akan memfokuskan kepada pelaburan dalam saham syarikat berpotensi, tetapi harganya terjejas ketika kegawatan ekonomi semasa.
“Kami yakin pelaburan dalam saham berkenaan mampu memberi pulangan tinggi berikutan keadaan ekonomi negara yang semakin baik selepas kerajaan mengambil beberapa langkah proaktif dalam menambah daya saing ekonomi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat ASM Investment bagi Wilayah Utara di Seberang Jaya, Butterworth, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) ASM Investment, Noor Supiah Ahmad. Pejabat ASM Invetment Wilayah Utara adalah cawangan kedua dirasmikan tahun ini dengan pejabat pertama adalah di Kuantan bulan lalu yang meliputi kawasan Pantai Timur.
Sehingga kini, ASM Investment sudah membuka lima pejabat iaitu di Kuantan, Pahang (Pantai Timur); Johor Bahru, Johor (Selatan); Butterworth, Pulau Pinang (Utara), Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Langkah membuka lima cawangan itu selain ibu pejabatnya di Kuala Lumpur adalah sejajar dengan objektif ASM Investment yang berteraskan perkhidmatan kepada pelanggan. Mengenai dana amanah berstruktur syariah pula, Nik Mohammed Zaki berkata, dana itu mensasarkan melindungi pelaburan pelaburnya.
“Bagi dana itu, kami sedang melihat kemungkinan sama ada bekerjasama dengan institusi kewangan lain atau melancarkan secara bersendirian,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Nik Mohammad Zaki berkata, pihaknya sedang dalam perbincangan untuk mencari rakan kongsi strategik bagi memperkukuhkan kedudukan dalam industri saham amanah serta pengurusan dana.
“Rakan strategik ini sudah dikenal pasti dengan kerjasama dijangka merangkumi pegangan ekuiti, perkongsian kepakaran, infrastruktur serta teknologi dari segi produk dan saluran jualan,” katanya.