July 28, 2009

Dr Halim dilantik pengerusi baru TM

DATUK Dr Halim Shafie dilantik sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM) berkuat kuasa 31 Julai ini bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Radzi Mansor yang bersara. TM dalam kenyataannya semalam berkata, Halim bukan asing kepada syarikat itu dan industri telekomunikasi kerana beliau sebelum ini adalah Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2006 hingga 2009. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah gantian TM dari 1999 hingga 2000, dan kemudian sebagai pengarah penuh sehingga 2004.

TM berkata, Muhammad Radzi pula bersara selepas berkhidmat dengan syarikat selama 10 tahun sejak 1999. Mengulas pelantikan itu, Ketua Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Zamzamzairani Mohd Isa, berkata pelantikan Halim memberikan kekuatan baru kepada Lembaga Pengarah TM.

“Pengalaman dan pembabitan luas beliau dalam industri tentunya memberikan kekuatan baru kepada Lembaga Pengarah, dan memberikan kami kesinambungan dan bimbingan untuk melaksanakan strategi perniagaan dan terus maju,” katanya.

Sebelum dilantik Pengerusi SKMM, Dr Halim memegang pelbagai jawatan dalam perkhidmatan awam negara. Beliau memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan awam di Kementerian Pelajaran pada 1972, diikuti dengan pelantikan di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) pada 1976, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di Jabatan Perdana Menteri pada 1987 dan kembali berkhidmat sebagai Pengarah Intan pada 1994.

Graduan Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Malaya pada 1972 itu kemudian dilantik Timbalan Ketua Setiausaha I, Sektor Komunikasi dan Multimedia pada 1999 sebelum menyandang jawatan Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada 2000.

Dalam tempoh 15 tahun lalu, beliau telah menduduki lembaga pengarah dalam beberapa syarikat termasuk Tenaga Nasional Bhd, Pos Malaysia Bhd dan Multimedia Development Corporation Sdn Bhd.

Beliau juga adalah Pengerusi Universiti Telekom Sdn Bhd selain menjawat pelbagai jawatan lain termasuk ahli majlis Malaysian National Computer Confederation (MNCC), Profesor Adjunct di Universiti Utara Malaysia, Pengerusi Lembaga Pengarah Perpustakaan Negara, Malaysia dan Pengarah Malaysian Electronic Clearing Corporation Sdn Bhd yang juga anak syarikat Bank Negara Malaysia. Zamzamzairani berkata, bagi pihak TM, beliau merakamkan penghargaan kepada Muhammad Radzi atas sumbangan besarnya terhadap kemajuan TM.