July 28, 2009

MAS laksana kempen ke Asia Utara

PENERBANGAN Malaysia (MAS) menyediakan tawaran menarik bagi destinasi ke Asia Utara di bawah kempen ‘Get-the-Deal’ dengan RM300 bagi satu tiket sehala ke Taipeh dan RM440 ke Kaohsiung.

Tawaran daripada syarikat penerbangan kebangsaan itu termasuk harga tiket pada RM697 ke Osaka, RM713 ke Tokyo dan RM740 ke Seoul. Pengurus Besar Kanan Bahagian Rangkaian dan Pengurusan Pendapatan MAS, Dr Amin Khan, berkata untuk menikmati tawaran itu pelanggan hanya perlu mendaftar di bahagian ‘Get-the-Deal’ di laman web syarikat penerbangan itu di www.malaysiaairlines.com.

“Sejak kempen ‘Get-the-Deal’ dilancarkan beberapa bulan lalu, kami telah menjual tiket bernilai kira-kira RM50 juta,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam. MAS kini terbang 13 kali seminggu ke Taipeh, 11 kali seminggu ke Tokyo, enam kali seminggu ke Osaka dan Seoul, dan lima kali seminggu ke Kaohsiung.