PETALING JAYA 30 Dis. - Ekonomi Malaysia dijangka berada pada kedudukan yang positif tahun depan melalui rangsangan fiskal dan monetari selain sektor eksport yang semakin pulih.
Deloitte dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Asia Pasifik berkata, pemulihan ekonomi Malaysia juga dijangka lebih kukuh berbanding jangkaan awal.
Kerajaan yang mengumumkan peruntukan pelan rangsangan ekonomi berjumlah RM60 bilion dijangka digunakan sepenuhnya pada pertengahan tahun depan.
Dalam laporannya terhadap Malaysia, Deloitte berkata, Malaysia kini dalam proses pemulihan dengan jangkaan ekonomi berkembang sebanyak empat peratus pada 2010.
''Bagaimanapun untuk jangka panjang prestasi ekonomi bergantung kepada keupayaan dalam perubahan struktur.
''Faktor utama ialah kemampuan negara menarik pelaburan swasta asing khususnya dalam sektor perkhidmatan,'' menurut Deloitte dalam laporan itu.
Malaysia yang berhasrat menjadi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020, kini semakin jelas menuju ke arah pemulihan," katanya.
Katanya, untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, Malaysia memerlukan kadar pertumbuhan sebanyak 5.4 peratus, sungguhpun anggaran ini berubah mengikut tahun,'' tambahnya.
''Bagaimanapun, ekonomi dijangka mengecut di antara dua dan tiga peratus tahun ini dan akan menunjukkan pertumbuhan melebihi empat peratus tahun depan,'' katanya.
Katanya, ekonomi negara mula merudum pada suku keempat 2008 dan mencapai kedudukan terendah pada suku kedua 2009.
Memandangkan ekonomi terlalu bergantung kepada eksport melebihi 100 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ia menyebabkan negara dilanda kemelesetan, menurut laporan itu.
Keadaan ekonomi negara bertambah terjejas berikutan perniagaan hilang keyakinan ekoran kemerosotan permintaan dari dalam dan luar negara.
Deloitte berkata, meskipun pertumbuhan sukuan menunjukkan pemulihan berbentuk V, tetapi ekonomi masih berada di peringkat bawah seperti tahun lalu.
Namun terdapat tanda-tanda pemulihan yang mengukuhkan pertumbuhan ekonomi pada suku ini selepas eksport menunjukkan kenaikan tahun ke tahun buat kali pertama selepas setahun.
Pertumbuhan sebanyak 1.6 peratus itu disumbangkan daripada pasaran eksport khususnya negara-negara ASEAN dan China.
Firma percukaian itu berkata, pertumbuhan produk elektrik dan elektronik menerajui pemulihan eksport manakala pada bulan-bulan mendatang minyak mentah dan gas asli cecair akan mendapat kelebihan daripada pengukuhan harga.
Deloitte juga meramalkan harga minyak sawit hampir setara dengan minyak mentah dan permintaan bagi minyak sawit dijangka terus kukuh, sekali gus akan merangsang pendapatan lebih tinggi kepada para pengeksport.