KUALA LUMPUR 19 Ogos - Dagangan dua hala Malaysia-Pakistan mencatatkan peningkatan besar pada tahun lepas iaitu AS$1.8 bilion (RM6.3 bilion) berbanding AS$835 juta (RM2.9 bilion) pada 2006.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Tahir Mahmud Qazi berkata, peluang masih terbuka antara kedua-dua negara untuk meningkatkan lagi nilai dagangan terutama dalam merealisasikan matlamat Malaysia menjadi hab makanan halal.
Menurutnya, MATRADE sendiri meletakkan sasaran untuk meningkatkan hubungan dagang Malaysia-Pakistan kepada AS$10 bilion (RM35 bilion) menjelang tahun 2012.''Sasaran itu kelihatan begitu tinggi tetapi tidak mustahil dicapai terutama selepas kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas pada November 2007,'' katanya.Beliau berkata demikian pada majlis sambutan ulang tahun ke-52 persahabatan Pakistan-Malaysia di sini baru-baru ini.
Dalam konteks yang sama, Tahir berkata, hubungan Pakistan-Malaysia yang bukan hanya terikat dengan perjanjian dua hala malah dalam pelbagai bidang, seharusnya dicontohi oleh semua pihak.
''Ikatan persahabatan ini kekal terjalin selama 52 tahun disebabkan terdapat beberapa persamaan antara Pakistan dan Malaysia yang bukan sahaja di peringkat kerajaan malah dalam pelbagai bidang.
"Persamaan ini dilihat dari aspek penglibatan kedua-dua negara dalam Persidangan Islam Antarabangsa (OIC), Negara-negara Komanwel dan Pergerakan Berkecuali, termasuk kumpulan Pembangunan Lapan (D-8)," katanya.
Tambahan pula ujar Tahir, kedua-dua negara ini dilihat saling bantu membantu antara satu sama lain dalam hampir kesemua isu yang melanda di negara mereka.Majlis itu turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi bersuara lunak kelahiran Pakistan, Saira Naseem yang dibawa khas dari negara tersebut.