August 20, 2009

Inflasi Julai turun 2.4 peratus

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Inflasi pada Julai turun sebanyak 2.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun lepas.Perubahan dalam harga petrol dan diesel mulai Jun tahun lepas disebut sebagai faktor kepada penurunan inflasi itu.

Bagaimanapun, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, inflasi yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP), meningkat 1.7 peratus kepada 111.7 berbanding 109.8 pada tempoh yang sama tahun lepas, kata Jabatan Perangkaan dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
IHP pada Julai naik sebanyak 0.1 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada Julai berbanding bulan yang sama pada 2008 menunjukkan kenaikan sebanyak 2.0 peratus, manakala indeks bukan makanan turun 4.6 peratus.

Bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, indeks bagi makanan dan minuman bukan alkohol naik sebanyak 6.5 peratus dan indeks bukan makanan susut sebanyak 0.5 peratus.