PETALING JAYA 26 Ogos -- Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) akan menjadikan program Jualan Hebat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) MSC Malaysia sebagai acara tahunan serta bakal diperluaskan di Malaysia Timur.
Naib Presiden Divisyen Pembangunan Industrinya, Saifol Bahri Mohamad Shamlan berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan sambutan hangat yang diterima pada tahun ini.
''Sambutan yang diterima adalah di luar jangkaan. Oleh itu, kami bercadang membawa kempen itu ke Sabah dan Sarawak pula," katanya pada taklimat media baru-baru ini.
Terdahulu, Jualan Hebat ICT MSC Malaysia merekodkan potensi jualan bernilai RM7.75 juta,, melebihi sasaran awal sebanyak RM3 juta hingga RM5 juta
Jualan tersebut melibatkan jualan penyelesaian ICT khas kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan yang bermula 20 Julai hingga 20 Ogos lalu.Saifol Bahri berkata, kempen itu menunjukkan perlunya platform untuk merangsang pertumbuhan PKS dan menyokong peluang perniagaan dalam pasaran sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
''Jualan itu telah menyumbang kepada sasaran jangka panjang untuk membantu PKS meningkatkan permintaan untuk produk ICT tempatan dan perkhidmatan dan membuka peluang platform untuk menggalakkan penggunaan ICT," katanya.
Jualan tersebut menyaksikan 30 syarikat berstatus MSC Malaysia menawarkan produk ICT dan perkhidmatan yang menjimatkan seperti penyelesaian e-dagang dan sebagainya.
Ia melibatkan kerjasama dengan Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC), Malaysian Debt Ventures (MDV) dan institusi kewangan telah menyumbang kepada sambutan yang menggalakkan itu.
Katanya, prestasi potensi jualan di luar jangkaan itu memberi kesan limpahan antara pengguna PKS dan vendor teknologi maklumat (IT) PKS dengan mewujudkan situasi menang-menang.
''MDeC berharap dengan penyelesaian ICT itu, pembeli PKS dapat menerima manfaat serta fleksibiliti dalam struktur operasi untuk kekal bersaing dan membuka peluang perniagaan baru ketika keadaan ekonomi mencabar ini," jelasnya.