KUALA LUMPUR 26 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada dua peratus sepanjang tahun ini.
OSK Research dalam nota penyelidikannya meramalkan kerajaan mahu menumpukan kepada pendekatan fiskal dalam Bajet 2010 berbanding polisi monetari untuk merangsang ekonomi pada masa depan.
‘‘BNM telah mengurangkan OPR kepada dua peratus sebelum ini untuk memastikan kecairan mencukupi dalam sistem perbankan negara.‘‘Dengan kedudukan ekonomi negara yang masih stabil, kami menjangkakan BNM akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ tetapi pada masa yang sama memantau perkembangan selanjutnya.‘‘Berikutan itu, OSK percaya BNM akan mengekalkan OPR pada paras semasa sehingga akhir tahun ini dan pada 2010,’’ katanya.
BNM yang mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari semalam memutuskan untuk mengekalkan OPR pada paras dua peratus.
Bank pusat itu berkata, pengekalan kadar tersebut dilakukan berikutan terdapat tanda-tanda positif keadaan ekonomi dan kewangan global bertambah baik.Pandangan itu, menurut OSK, dibuat dengan mengambil kira pemulihan ekonomi yang agak lembap kerana belum ada pemangkin yang mampu merangsang pertumbuhan.
Selain itu, ia turut mengambil kira cadangan Persekutuan Rizab Amerika Syarikat (AS) yang mahu meningkatkan kadar penanda aras itu pada separuh kedua 2010.
‘‘Sekiranya ia benar-benar berlaku, kami berpendapat BNM akan menurunkan OPR bagi mengelak sebarang aliran wang panas ke dalam negara memandangkan perbezaan OPR Malaysia dan AS adalah 175 mata asas sahaja,’’ tambah OSK