July 22, 2009

Thailand yakin Sijil Halal Malaysia bantu luaskan pasaran

KUALA LUMPUR 21 Julai - Syarikat pembekal ayam siap diproses dari Thailand, Saha Farms Company Ltd. yakin Sijil Halal Malaysia yang diperolehnya mampu meluaskan lagi pasarannya di peringkat global.

Pengerusinya, Dr. Panya Chotitawan berkata, sebagai syarikat pertama dari negara jiran menjadi penerima sijil berkenaan, pihaknya yakin dapat mengeksport 100,000 metrik tan ayam proses tahun ini.

"Sijil Halal Malaysia mempunyai reputasi yang baik dan meyakinkan bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam di Thailand malah di seluruh dunia,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan Sijil Halal Malaysia kepada Saha Farms di Hotel Hilton di sini hari ini.

Pada majlis sama, sebuah syarikat tempatan iaitu Rancang Awal Sdn. Bhd. memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Saha Farms untuk memperoleh hak eksklusif bagi memasarkan produk syarikat itu di negara ini dan negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).

Panya menjelaskan, sebelum ini Saha Farms mempunyai sijil halal yang dikeluarkan oleh komuniti Islam di Thailand tetapi masyarakat antarabangsa lebih yakin dengan Sijil Halal Malaysia.

Sementara itu Praphol berkata, banyak syarikat Thailand kini menganggap Sijil Halal Malaysia sebagai satu pelaburan untuk meluaskan pasaran di negara Islam dan bukan Islam.

"Syarikat Thailand kini memandang Sijil Halal Malaysia sebagai tiket untuk meneroka pasaran antarabangsa.

"Malaysia dianggap sebagai sebuah negara Islam oleh Thailand dan komuniti Islam di Thailand sungguh yakin dengan produk-produk halal dari Malaysia,'' katanya.

Tidak sampai 10 peratus daripada 60 juta penduduk di Thailand beragama Islam.