KUALA LUMPUR 21 Julai - Piawaian perakaunan kini membentuk asas untuk keyakinan awam dalam integriti pasaran dan syarikat yang menerbitkan hutang atau sekuriti.
Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Dr. Nik Ramlah Mahmood berkata, pengawal selia sekuriti menyifatkan pelaporan kewangan sebagai aspek penting memenuhi mandat berkanun bagi melindungi para pelabur.
"Pasaran kewangan dan modal kian menjadi komponen paling penting kebanyakan ekonomi," kata beliau dalam ucap tama di seminar piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (IFRS) di sini hari ini.
"Dengan peningkatan transaksi sempadan bersilang yang begitu ketara dan pertambahan dalam nilai aset kewangan, kepentingan peraturan piawaian perakaunan sudah pastinya turut berkembang," kata beliau.
Beliau maklum yang piawaian perakaunan sekarang mempunyai kesan besar ke atas kestabilan kewangan global seperti yang tercermin oleh hakikat yang nilai perakaunan yang adil mengambil tempat penting dalam hujah-hujah pemulihan pengawalseliaan tidak lama dulu.
Nik Ramlah berkata, berbanding dengan 1990an, ketika banyak negara di dunia ini mempunyai piawaian perakaunan mereka sendiri, ia adalah pujian kepada profesion yang terdapatnya perkembangan yang signifikan dalam pengharmonian.
"Pada Sidang Kemuncak G-20 London baru-baru ini, kerajaan menggesa satu set piawaian perakaunan yang berkualiti tinggi yang membolehkan semua syarikat menggunakannya apabila memfailkan keputusan atau prestasi masing-masing.
"Calon yang memenuhi permintaan mereka ialah piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa dengan lebih 100 negara telah pun menggunakannya," jelas beliau.
Beliau berkata, IFRS ialah tulang belakang antarabangsa yang mana perakaunan dan kewangan global didasarkan kepadanya.
"IFRS mempromosikan tadbir urus korporat yang baik. Negara yang ingin bersaing untuk pelaburan asing langsung dan pelaburan portfolio asing perlu mengguna pakai piawaian antarabangsa yang seiring dengan amalan tadbir urus korporat yang baik," kata beliau. -
Bernama