PERSATUAN Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SMI Malaysia) bercadang mewujudkan sebuah konsortium bagi memperkenalkan konsep 1Malaysia dalam perdagangan dan perniagaan antarabangsa, terutama membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Presidennya, Chua Tiam Wee, berkata konsortium itu akan mengumpulkan semua usahawan PKS tanpa mengira kaum untuk duduk di bawah satu payung serta dibantu mendapatkan jaringan perniagaan menerusi misi perdagangan di luar negara.
“Kita perlu menyusun organisasi kita, berfikir sebagai sebuah satu keluarga besar. Pergi ke luar negara dalam misi perdagangan sebagai sebuah konsortium besar yang mampu menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik Malaysia kepada pelanggan di luar negara.
“Apabila wujud penyatuan yang mengumpulkan kekuatan dan sumber, barulah kita mampu bersaing dalam perdagangan di peringkat antarabangsa,” katanya selepas pelancaran program `Sembang-sembang bersama Tee Keat’ (TKK) di sini, semalam.