INDUSTRI teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diunjurkan berkembang tujuh peratus tahun ini jika keyakinan perniagaan dan pasaran ekuiti mencatatkan peningkatan kukuh, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Maximus Johnity Ongkili.
Beliau berkata, tahun lalu, sektor dalam industri itu termasuk perkakasan, perisian, penyelesaian dan penyedia perkhidmatan, menyumbang RM40 bilion kepada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, menurun dua peratus berbanding tahun sebelumnya. Pada 2007, industri ICT menyumbang RM48 bilion kepada nilai KDNK Malaysia, naik 10 peratus dari 2006, katanya.
"Industri ICT sebelum krisis ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar 10 peratus setahun dalam tempoh beberapa tahun akan datang, menjadikan Malaysia satu daripada pasaran ICT yang pantas berkembang di Asia," katanya ketika taklimat media selepas majlis pertukaran dokumen antara Mimos dengan penerima teknologinya.
Ongkili berkata, industri ICT yang berasaskan inovasi dijangka terus berkembang pesat. Beliau berkata, di Mimos, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan berdasarkan kepada keperluan pasaran bagi memastikan teknologi boleh dikomersilkan untuk pertumbuhan berterusan.
Beliau berkata, Mimos setakat ini memindahkan lapan daripada teknologinya kepada pelbagai penerima. Mimos semalam memindahkan platform teknologinya kepada tiga syarikat tempatan iaitu Jaring Communications Sdn Bhd, Mutiara.Com dan Smart Computing Sdn Bhd.
Ia juga bertukar perjanjian pelesenan teknologi dengan enam syarikat tempatan iaitu Disability Solutions Sdn Bhd, Alam Teknokrat Sdn Bhd, Innovision Business Solutions Sdn Bhd, Phytofolia Sdn Bhd, Quantum Beez Sdn Bhd dan Fabtronic Sdn Bhd.
Presiden dan Ketua Eksekutif Mimos, Datuk Abdul Wahab Abdullah, berkata selepas pelaksanaan perjanjian pelesenan teknologi, organisasi itu akan memindahkan platform teknologi kepada penerima untuk mereka membangunkan segmen pasaran sasaran mereka sendiri.
Mimos juga bertukar memorandum persefahaman (MOU) dengan sembilan syarikat tempatan iaitu Extol MSC Sdn Bhd, Ashtech Systems Sdn Bhd, Mexter MSC Sdn Bhd, WannaStation.com (M) Sdn Bhd, Content Capital Sdn Bhd, Pentasoft Malaysia Sdn Bhd, Orea Technologies Sdn Bhd, My-Partners Surveillance Solutions Sdn Bhd dan Digicert Sdn Bhd.
Abdul Wahab berkata, setakat ini, Mimos memindahkan platform teknologinya kepada lapan syarikat tempatan dan menerima 76 permohonan pindahan teknologi daripada penerima berpotensi. "Kami mensasar untuk mempunyai lebih 100 permohonan pindahan teknologi pada akhir tahun," katanya. - Bernama