July 31, 2009

Miti tambah program bantu PKS

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan melaksanakan lebih banyak program sepanjang tempoh dua tahun ini bagi membantu pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan kemudahan pembiayaan dari institusi kewangan di negara ini.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kajian yang dijalankan Miti mendapati isu utama dihadapi sektor PKS ialah kesukaran mendapatkan kemudahan pembiayaan bagi perniagaan mereka.

Katanya, dalam kegawatan ekonomi sekarang, Miti harus bertindak lebih aktif bagi memastikan PKS yang memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara, diberikan kemudahan pembiayaan bagi membolehkan mereka terus berdaya saing.

"Bagi tujuan itu, sepanjang tahun ini dan tahun depan, Miti dan semua agensinya akan melaksanakan banyak program turun padang bagi membantu PKS yang sedang berdepan masalah susulan kegawatan ekonomi semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Usahawan SME Bank 2009, di Kota Bharu, semalam.