July 31, 2009

Dasar baharu rangsang

KUALA LUMPUR 30 Julai - Dasar perdagangan baharu Pakistan bagi 2009-2010 dijangka memperdalam dan mempelbagaikan lagi eksportnya ke rakan dagangan utama seperti AS dan Kesatuan Eropah serta negara-negara di mana ia memeterai perjanjian perdagangan bebas seperti Malaysia, China dan Sri Lanka.

Suruhanjaya Tinggi Pakistan di Malaysia dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, dasar itu yang diumumkan semalam merangkumi peruntukan perlindungan insurans bagi pembeli yang datang ke negara itu untuk memulihkan keyakinan pelabur.

Pesuruhjaya Tingginya ke Malaysia, Lt-Jen (B) Tahir Mahmud Qazi berkata, Pakistan akan melancarkan pelbagai langkah bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan. "Antaranya adalah skim untuk mengganti rugi kos fret darat kepada pedagang simen, kejuruteraan ringan, pakaian kulit, produk marmar, granit dan kuarza," katanya.

Tahir berkata, untuk menggalakkan perdagangan dengan Malaysia, Pakistan mencadangkan duti kastam sifar bagi import gentian bukan semula jadi selain gentian stapel poliester. - Bernama