July 31, 2009

AP: Masih tiada kata putus

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri belum membuat sebarang keputusan tentang cadangan menghapuskan permit import (AP).
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Tun Mahathir menyifatkan masih terlalu awal untuk menyatakan sebarang dan keputusan itu akan dibuat pada September ini.

''Yang itu biar menteri akan umumkan atau Perdana Menteri sendiri akan membuat pengumuman.
''Namun sebarang keputusan akan diputuskan di peringkat jemaah menteri sebelum ia akan diumumkan,'' katanya selepas merasmikan pelancaran kad kredit EZ Travel Gold MasterCard di sini hari ini.

Hadir sama di majlis itu Pengerusi Advance Synergy Bhd. , Datuk Abdul Murad Khalid, Naib Presiden Hubungan Ahli dan Pembangunan Penerimaan MasterCard, Soong Chok Mun dan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Kilatan Unggul, Ruzaini Abd. Razak.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sistem AP mungkin tidak akan kekal selamanya kerana tidak lagi konsisten dengan peraturan global termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Muhyiddin berkata, di bawah WTO, sistem itu dianggap sebagai sekatan perdagangan antarabangsa, dan negara-negara anggota termasuk Malaysia harus menamatkan AP untuk memastikan sistem perdagangan liberal dan terbuka