TOYOTA Motor mengumumkan mencipta satu cara untuk membolehkan seseorang mengawal kerusi roda elektrik menerusi pemikiran dengan menggunakan alat seperti topi keledar yang mengukur gelombang otak mereka.
Teknologi canggih Paparan Muka Mesin Otak (BMI) itu menggunakan elektrod yang dipasang pada kulit kepala untuk mengukur aktiviti otak ketika pengguna menumpu kepada pergerakan fizikal tertentu.
Isyarat itu dipaparkan pada panel hampir dalam masa sebenar dan diterjemahkan kepada arahan untuk menggerakkan kerusi roda bermotor itu, kata penyelidik Toyota.
“Sistem seperti itu membolehkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berinteraksi dengan dunia menerusi isyarat daripada otak mereka tanpa perlu memberikan arahan suara,” kata Toyota dalam kenyataannya.
“Teknologi ini dijangka berguna dalam bidang pemulihan serta sokongan psikologi dan fizikal pengguna kerusi roda,” tambahnya. Syarikat automotif terbesar dunia itu berkata, sistem berkenaan adalah 95 peratus tepat dan mampu disesuaikan kepada karakter pengguna individu.
“Justeru, pemandunya mampu mendapatkan sistem terbabit untuk mempelajari arahannya (depan/kanan/kiri) dengan pantas dan cekap,” kata kenyataan itu. Beberapa makmal Jepun sedang mengusahakan teknologi BMI untuk membangunkan aplikasi baru bagi memudahkan kehidupan warga emas dan OKU.
Mac lalu, Honda Motor Co memperkenalkan versi terbaru robot selebritinya, ASIMO yang boleh dipacu oleh orang lain menggunakan topi keledar disemat elektrod menerusi teknologi BMI. Humanoid Honda itu boleh membuat empat pergerakan asas berdasarkan arahan bukan lisan oleh seseorang menumpu untuk membuat pergerakan sendiri.
Syarikat itu berkata penyelidikan berkenaan disasar untuk mewujudkan robot yang boleh membantu manusia, terutama warga emas bagi melaksanakan kerja rumah seperti menyiram tanaman atau menghidangkan makanan. - AFP