June 30, 2009

Pharmaniaga tambah produk langkah kuasai pasaran eksport

PHARMANIAGA Bhd merancang menceburi pengeluaran produk ‘phytomedicine’ dengan sasaran mengembangkan penembusan pasaran luar negaranya kepada lebih 50 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Mohamad Abdullah, berkata syarikat farmaseutikal itu mahu meningkatkan bilangan produknya bagi menguasai bahagian pasaran lebih besar di luar negara. “Apa yang kami mahu lakukan ialah memajukan produk ‘phytomedicine’ berasaskan penawar botanik atau herba bagi merawat penyakit,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Vendor Ketiga syarikat itu di Kuala Lumpur, semalam.

Mohamad berkata Pharmaniaga akan bekerjasama dengan institusi penyelidikan sama ada di dalam atau luar negara, bagi membantu syarikat menghasilkan produk berasaskan botanik/tumbuh-tumbuhan.

“Ia adalah projek yang berterusan kerana saya percaya jika kita mahu terus berkembang, kita bukan hanya semata-mata menghasilkan produk orang lain tetapi juga perlu mempunyai produk sendiri,” katanya.

Syarikat berkaitan kerajaan yang 86.6 peratus dimiliki oleh Kumpulan UEM itu kini terbabit dalam pengeluaran produk farmaseutikal generik.

Ia mempunyai dua kilang, masing-masing di Puchong dan Bangi, Selangor. Mohamad berkata, Pharmaniaga berharap mempunyai nisbah 50:50 antara pasaran domestik dan eksport bagi produk keluarannya dalam tempoh tiga hingga lima tahun ini. “Pasaran kami dalam tempoh terdekat ini ialah dalam lingkungan Asia Tenggara dan mungkin negara Majlis Kerjasama Teluk pada masa akan datang,” katanya.