ARAU 29 Jun - Pergolakan politik dalam negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 menjadi antara faktor utama pelabur kurang berminat melabur di negara ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, walaupun terdapat beberapa faktor lain, tetapi tidak dapat dinafikan 'iklim' politik mempengaruhi pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.
''Saya ada bertanya beberapa pelabur asing dan antara mereka menyatakan apa yang berlaku di sini (pergolakan politik) bukan perkara yang mencemaskan kerana pergolakan politik di beberapa negara lain lebih teruk.
''Mungkin kita di negara ini yang rasa kurang selesa, tetapi diharap masalah pergolakan politik negara dapat diselesaikan kerana kita melihat apa yang menarik minat pelabur ke negara ini satu masa dulu disebabkan asas kestabilan politik yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penutup Konvensyen Program Usahawan Muda (PUM) Kebangsaan Ke-13 yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Ulu Pauh di sini malam tadi.
Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Ditanya mengenai pembangkang yang tidak berapa berminat mengambil tahu keadaan ekonomi negara selain hanya 'galak' berpolitik, kata beliau, perkara itu ada kebenarannya.
''Apa yang pembangkang tahu hanya membangkitkan isu tanpa mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan masalah berkaitan ekonomi negara.
''Sepatutnya masalah ekonomi yang perlu diselesaikan terlebih dahulu bukan isu-isu yang remeh-temeh," jelasnya.
Beliau seterusnya berharap usaha yang gigih dapat diambil untuk menyelesaikan pelbagai masalah dalaman khususnya politik negara bagi memulihkan semula ekonomi Malaysia ke tahap terbaik.