June 30, 2009

BNM tidak

KUALA LUMPUR 29 Jun - Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan menggalakkan penurunan seterusnya ringgit dalam usaha menjadikan eksport Malaysia lebih kompetitif, kata Gabenornya, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.

"Kita tidak bergantung kepada ringgit untuk mendapat daya saing," Dr. Zeti dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan Dow Jones Newswires di luar mesyuarat Bank for International Settlements di Basel.

Dr. Zeti dipetik sebagai berkata dalam tempoh terdekat ini, mata wang itu mencerminkan keadaan pasaran, tetapi dalam tempoh sederhana ia mencerminkan fundamental ekonomi asas.
Beliau berkata, BNM melabur secara sederhana dalam aset di China selepas Beijing memberikannya status pelabur institusi asing berkelayakan awal bulan ini.

Menurutnya, dolar AS terus kekal sebagai mata wang rizab antarabangsa penting, manakala euro semakin mendapat pengaruh.

"Kami melabur dalam aset secara kecil-kecilan di Asia, oleh itu China akan menjadi satu daripadanya," kata Dr. Zeti sambil menambah bank pusat itu juga melabur secara sederhana sebahagian daripada aset rizabnya di tempat lain di rantau Asia Pasifik termasuk Australia dan New Zealand.

Bank tersebut juga merancang untuk mengekalkan kandungan rizabnya dalam bentuk seperti sekarang yang mempunyai kepelbagaian tinggi, katanya. - BERNAMA