June 25, 2009

Masa sesuai liberalisasi industri besi, keluli

PENGUMUMAN liberalisasi selanjutnya sektor besi dan keluli yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos ini dibuat tepat pada masanya dalam usaha memenuhi permintaan pasaran domestik dan eksport, khususnya besi keping dan panjang.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Kamaruddin Ismail, berkata pengumuman itu bersesuaian setelah mengambil kira persekitaran pasaran besi dan keluli yang kukuh dan stabil ketika ini.

“Sekarang adalah masa paling sesuai. Industri besi dan keluli ketika ini sedang melalui fasa pengukuhan yang mana kadar penggunaan kapasiti industri ini adalah antara 35 peratus hingga 50 peratus ketika ini.

“Susulan liberalisasi itu, kerajaan berharap syarikat terbabit dalam industri itu dapat merancang strategi untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” katanya pada taklimat media mengenai pelaksanaan langkah itu di Kuala Lumpur, semalam.

Kamaruddin berkata, pengumuman langkah itu juga mengambil kira persekitaran pasaran besi dan keluli yang lebih stabil ketika ini, di samping bekalan bahan mentah mencukupi serta kestabilan harga di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan sebilangan peserta pasaran yang mempersoalkan tarikh pelaksanaan langkah itu yang mana menurut mereka adalah lebih sesuai jika diumumkan apabila ekonomi negara kembali pulih kelak.

Kamaruddin menjelaskan, semakan semula dasar itu juga dibuat setelah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) sejak awal 2007.

Pada 17 Jun lalu, Miti mengumumkan pelaksanaan kajian semula dasar industri besi dan keluli tempatan untuk meningkatkan daya maju industri dalam negara dan menggalakkan pengeluaran produk lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Mulai Ogos ini, antara langkah yang akan dikuatkuasakan termasuk kelonggaran pemberian lesen pengilang tanpa sekatan bagi produk besi keluli; penerbitan bebas permit import dan eksport (AP) bagi besi keping; pengurangan tarif secara berperingkat bagi besi panjang dan keping.

Langkah lain adalah pengecualian duti import ke atas produk berkaitan besi dan keluli yang tidak dikeluarkan pengeluar tempatan serta pelaksanaan piawaian mandatori bagi produk berkaitan besi dan keluli tempatan serta import.

Pada masa sama, Miti juga menyatakan, pengecualian duti eksport dan import semasa ke atas 57 tarif produk besi serta keluli panjang dikekalkan. Kamaruddin menambah, liberalisasi yang diumumkan itu bertepatan kerana tempoh perlindungan terlalu lama yang dikenakan bagi produk besi panjang menerusi pelaksanaan duti import antara 10 peratus hingga 30 peratus akan menjejaskan daya saing, selain ia memerlukan AP.

Pengurangan tarif yang dilaksanakan berperingkat diharap memadai bagi industri dalam sektor itu membuat penyesuaian. Katanya, ia juga selaras dengan komitmen Malaysia di bawah pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di peringkat global dan serantau. “Kami berharap menerusi dasar tanpa sekatan import bahan mentah, peserta industri dapat meningkatkan kapasiti masing-masing,” katanya.