AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.3 sen seunit kepada pemegang Amanah Saham Didik (ASD) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009. Ia akan membabitkan bayaran berjumlah RM156.82 juta kepada 224,729 pelabur yang memegang 2.83 bilion unit dana berkenaan.
Pengerusi Permodalan nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata walaupun kadarnya adalah lebih rendah berbanding 7.00 sen seunit yang dibayar tahun lalu, namun ia masih berdaya saing berbanding instrumen pelaburan lain jika mengambil kira suasana kegawatan ekonomi global yang masih belum pulih.
“Kadar itu mampu dibayar hasil strategi pelaburan berhemat oleh pengurus dana itu walaupun terpaksa berdepan persekitaran ekonomi mencabar,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. Ahmad Sarji berkata, pembayaran pengagihan pendapatan itu akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit mulai 1 Julai.
Bagi pemegang unit yang melanggan menerusi skim pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP masing-masing.
Katanya, untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan berkenaan, semua urus niaga ASD ditangguhkan mulai semalam hingga 30 Jun dan pemegang unit boleh mengemas kini buku pelaburan masing-masing di pejabat atau ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Julai ini apabila urus niaga dibuka seperti biasa.
Beliau menjelaskan, sehingga 19 Jun lalu, ASD, dana ekuiti pertumbuhan berharga tetap itu menjana pendapatan kasar sebanyak RM185.94 juta. Daripada jumlah itu, katanya, pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat menyumbang RM88.68 juta atau 47.69 peratus, keuntungan daripada penjualan saham sebanyak RM80.26 juta (43.16 peratus) dan RM17 juta (9.15 peratus) lagi daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.
Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, secara keseluruhannya ASD mencapai prestasi lebih baik, dan mampu menawarkan pengagihan pendapatan sebanyak 9.7 peratus dalam tempoh kewangan berkenaan.
“Jika mengikut prestasi ASNB boleh membayar 9.7 peratus, tetapi kami hanya membayar 6.3 peratus untuk memperuntukkan lebihan banyak dana sebagai persediaan masa depan memandangkan persekitaran ekonomi masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Pada sidang media itu, beliau turut mengumumkan, daripada 500 juta unit Amanah Saham Malaysia yang diperuntukkan kepada kaum India, sebanyak 485 juta unit sudah dilanggan dan masih berbaki 15 juta unit. Sebelum ini timbul kontroversi mengenai kaum India mahukan agihan lebih besar bagi peruntukan dana berkenaan.