June 29, 2009

Firma kecil disaran sertai FPLC

LEBIH banyak syarikat tempatan digesa menyertai Federation Of Public Listed Companies Bhd (FPLC) ke arah mengukuhkan lagi kedudukan sebagai antara organisasi utama mewakili syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dalam menyuarakan pelbagai isu dan pandangan kepada pihak berkuasa.

Presidennya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas, berkata FPLC juga berazam menjadi sebuah persatuan yang lebih aktif tahun ini dan akan terus memainkan peranan sebagai perantara antara syarikat tersenarai dengan pihak kerajaan. Beliau berkata, selama ini, persatuan itu lebih banyak menjalankan tanggungjawab secara `diam-diam’ tanpa banyak menghebahkan aktivitinya kepada pihak awam.

"Kami lebih banyak menjalankan aktiviti dalam menyuarakan pandangan dan permasalahan syarikat yang diwakili secara senyap tanpa berkonfrontasi dengan pihak berkuasa. "Banyak syarikat mendapat manfaat daripada kegiatan yang kami jalankan tanpa mereka sedari," katanya pada satu sidang media di Subang, baru-baru ini.

Megat Najmuddin berkata, memandangkan syarikat yang tidak menganggotai FPLC turut mendapat faedah daripada kegiatan yang dijalankan persatuan itu, mereka tidak menyertai FPLC.

"Kami hanya dianggotai syarikat besar. Syarikat Mesdaq dan Papan Kedua tidak menyertai FPLC sebab mereka sudah mendapat manfaat daripada apa yang dijalankan oleh kami. Ini adalah satu tabiat yang kurang baik," katanya.

Namun, beliau menjelaskan, memandangkan persekitaran pasaran hari ini semakin mencabar dan era globalisasi mula menjengah pasaran tempatan, syarikat tersenarai yang bersaiz kecil perlu melengkapkan diri menghadapi ancaman globalisasi itu.

"Sekarang kerajaan banyak memberi perlindungan terhadap banyak sektor dan apabila globalisasi datang, kerajaan sudah tidak berupaya melindunginya lagi," katanya. Katanya, syarikat kecil yang tidak dilindungi mana-mana organisasi akan menerima kesan buruk daripada globalisasi ini.

"Terdapat banyak ketidakseimbangan dalam ekonomi kita. Kita terlalu banyak diberikan subsidi dan dilindungi. Persaingan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan pada masa depan. Jadi, siapa yang akan memberikan perlindungan?," katanya.

Sementara itu, Megat Najmuddin berkata, ahli FPLC juga berpeluang mengikuti lawatan perdagangan anjuran persatuan itu ke luar negara termasuk Julai ini akan mengunjungi Indonesia dalam usaha mencari peluang perniagaan di negara itu. "Kami boleh menjadi pemudah cara kepada syarikat tempatan menembusi pasaran luar negara,” katanya.