April 17, 2009

Krisis ekonomi Amerika semakin meruncing

KEMELESETAN ekonomi di Amerika Syarikat (AS) menjadi lebih buruk, dengan perangkaan terbaru menunjukkan pengeluaran industri bagi Mac jatuh ke paras paling rendah dalam tempoh sedekad, manakala inflasi tahunan menguncup buat pertama kali dalam tempoh 54 tahun.

“Keseluruhan aktiviti ekonomi terus menguncup atau kekal lemah,” kata Rizab Persekutuan negara itu dalam laporan ‘Beige Book”, iaitu kaji selidik aktiviti ekonomi yang diperoleh daripada 12 daerah bank pusat itu.

Mengikut laporan itu, yang dibuat berdasarkan maklumat yang dikumpul antara awal Mac hingga 6 April, lima daripada 12 daerah terbabit dalam kaji selidik itu menyaksikan ‘penyederhanaan dalam arah aliran menurun’ manakala beberapa wilayah lagi ‘menunjukkan isyarat aktiviti dalam beberapa sektor stabil pada paras rendah.’

Laporan itu bagaimanapun tidak menyediakan perangkaan mengenai penguncupan seterusnya bagi ekonomi AS. Perangkaan terbaru menunjukkan, ekonomi AS, yang menerima kesan kemelesetan sejak Disember 2007, menguncup 6.3 peratus pada suku keempat 2008, diikuti kejatuhan gadai janji kediaman yang menyebabkan kemelut kewangan dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Kerajaan AS akan mengumumkan unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama pada 29 April.

Kaji selidik membabitkan 53 pakar ekonomi yang diterbitkan oleh Wall Street Journal minggu lalu, menunjukkan KDNK AS mampu menguncup dalam suku pertama dan kedua tahun ini, masing-masing sebanyak lima peratus dan 1.8 peratus.

Laporan Beige Book yang dibuat berdasarkan panggilan telefon ke seluruh sektor perniagaan di AS, digunakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan yang juga badan pembuat keputusan Rizab Persekutuan AS. Jawatankuasa itu akan bermesyuarat pada 28 dan 29 April ini.

Pada mesyuarat yang diadakan Mac lalu, pembuat keputusan itu menurunkan kadar faedah ke paras paling rendah dalam sejarah antara sifar hingga 0.25 peratus, dan paras itu kekal sejak pertengahan Disember tahun lalu.

Ini sekali gus mencerminkan bahawa kadar itu akan dikekalkan pada paras semasa untuk tempoh yang agak lama. Berdasarkan kepada kedalaman kemelesetan ekonomi AS, perangkaan rasmi yang dikeluarkan Rabu lalu menunjukkan harga pengguna bagi Mac jatuh buat pertama kali dalam tempoh 53 tahun dan pengeluaran perindustrian pula turun ke paras paling rendah dalam tempoh 10 tahun.

Jabatan Buruh AS berkata, Indeks Harga Pengguna (IHP) jatuh 0.1 peratus Mac lalu berbanding Februari, dan turun 0.4 peratus berbanding bulan yang sama tahun lalu, yang juga kejatuhan sejak Ogos 1955. Kebanyakan pakar sebelum ini menjangkakan IHP, yang mengukur purata harga barangan dan perkhidmatan pengguna yang dibeli oleh isi rumah, akan mencatat kenaikan 0.1 peratus untuk perbandingan bulan-ke-bulan. - AFP