April 17, 2009

19 firma Malaysia masuk senarai Forbes Global 2000

SEMBILAN belas syarikat Malaysia, yang didahului oleh Malayan Banking Bhd (Maybank), Sime Darby Bhd dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) disenaraikan dalam Forbes Global 2000, yang menyenaraikan 2,000 syarikat terbesar dunia bagi tahun ini.

Bilangan itu bertambah daripada hanya 15 syarikat tahun lalu. Jumlah aset digabungkan bagi 16 syarikat itu ialah AS$380.08 bilion (RM1.37 trilion). Di sebalik persekitaran ekonomi global yang mencabar, lima syarikat baru dari Malaysia disenaraikan dalam senarai itu, iaitu YTL Corporation Bhd, Plus Expressway Bhd; Axiata Bhd, dulunya dikenali TM International Bhd; Petronas Dagangan Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd.

Cahya Mata Sarawak Bhd yang berada dalam senarai itu tahun lalu terkeluar daripada senarai tahun ini. Sementara itu, hampir keseluruhan syarikat Malaysia memperbaiki kedudukan masing-masing dalam senarai itu. Maybank kini berada di kedudukan ke-534 syarikat terbesar dunia, daripada 634 tahun lalu; Sime Darby (ke-569, daripada 691); TNB (ke-575 daripada 625); Public Bank (ke-685 daripada 822) dan Malaysian International Shipping Corporation Bhd (ke-875 daripada 1,038).

Forbes Global 2000 adalah senarai lengkap terkini syarikat terbesar dunia yang dinilai berdasarkan jumlah komposit jualan, keuntungan, aset dan nilai pasarannya. Sepuluh syarikat teratas dalam senarai berkenaan ialah General Electric, Royal Dutch, Toyota Motor, Exxon Mobil, BP, HSBC Holdings, AT&T, Wal-Mart Stores, Banco Santander, Chevron dan Total.

Bagaimanapun, tahun ini adalah kali pertama jumlah jualan terkumpul semua syarikat terbesar global itu gagal mencatat pertumbuhan dua angka berbanding tahun lalu. Secara keseluruhannya, syarikat yang disenaraikan itu mempunyai jualan digabungkan bernilai AS$32 trilion, meningkat hanya 7.6 peratus daripada AS$29.8 trilion pada tahun lalu.

Namun, jumlah jualan bagi syarikat Malaysia meningkat 38.54 peratus daripada RM47.1 bilion tahun lalu kepada RM65.25 bilion khususnya dengan kemasukan syarikat baru dalam senarai itu. Pada peringkat Asia Pasifik, 681 syarikat dari rantau ini disenaraikan dengan tambahan 61 syarikat berbanding tahun lalu.

Jepun dan China sekali lagi mendahului negara di rantau itu dari segi jumlah syarikat terbanyak dalam senarai itu dengan masing-masing sebanyak 288 dan 91 syarikat. Ia diikuti oleh Korea Selatan dengan 61 syarikat, India (47 syarikat), Australia (46 syarikat), Taiwan (45 syarikat), Hong Kong (42 syarikat), Malaysia (19 syarikat), Singapura (17 syarikat) dan Thailand (10 syarikat).