March 10, 2009

Urus Wang Anda: Manfaat Faedah Rendah

Oleh Azli Ayob

Pelanggan bank konvensional nikmati kelebihan segera PERSEKITARAN kadar faedah yang rendah ketika ini dikatakan menguntungkan peminjam dengan bank konvensional kerana kos pinjaman yang lebih rendah berbanding peminjam dengan institusi kewangan Islam yang mengenakan kadar tetap.

Namun, jika anda seorang peminjam dengan institusi kewangan Islam dan merasakan terpaksa menanggung beban kos pinjaman yang tinggi kerana kadar tetap pinjaman berlandaskan syariah yang tinggi, langkah pertama yang boleh dilakukan bagi meringankan beban itu adalah berunding dengan bank.

Dalam soal ini, institusi kewangan Islam tidak keberatan dan bersedia berbincang dengan peminjam untuk memberikan diskaun kepada peminjam dalam bentuk menikmati potongan diskaun tertentu bagi pinjaman mereka yang berkadar tetap yang sudah termaktub mengikut perjanjian pinjaman sebelum ini.

"Ada caranya yang boleh digunakan bank untuk menurunkan kadar tetap ini," kata Pengarah Eksekutif Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin.

Beliau berkata, apa yang perlu dilakukan oleh peminjam adalah untuk datang berunding dengan pihak bank bagi membincangkan cara mana bank boleh menurunkan kos pinjaman itu.