March 10, 2009

Bajet Mini Beri Impak Besar Dalam Jangka Pendek

Oleh Zainab Mohd Yatim

Pakej kedua dijangka sedia lebih banyak peruntukan, insentifBAJET Mini yang akan dibentangkan di Parlimen petang ini, dijangka menumpukan usaha ke arah merangsangkan ekonomi negara termasuk menyediakan inisiatif untuk projek bersaiz kecil, tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka pendek.

Bajet dengan anggaran peruntukan antara RM10 bilion hingga RM20 bilion itu juga dijangka menumpukan langkah meminimumkan pemberhentian pekerja khususnya dalam sektor perkilangan, menerusi penyediaan insentif mengurangkan kos melaksanakan perniagaan di kalangan majikan terbabit.

Ketua Penyelidik, MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Zulkifli Hamzah, berkata pakej rangsangan kedua itu dijangka menyediakan lebih banyak peruntukan dan insentif dalam usaha kerajaan memastikan negara berupaya berdepan suasana kemelesetan ekonomi semasa.

Katanya, inisiatif itu termasuk termasuk melaksanakan projek bersaiz kecil, tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka pendek, selain memastikan rakyat memiliki pekerjaan. Beliau berkata, antara projek berimpak besar termasuk penyelenggaraan infrastruktur dan pembangunan infrastruktur berskala kecil.