MALAYSIA dan Indonesia bersetuju bekerjasama mengukuhkan harga komoditi, terutama minyak sawit dan getah di tengah-tengah kelembapan ekonomi global pada masa kini. Malaysia dan Indonesia sama-sama menguasai 85 peratus daripada pengeluaran minyak sawit dan 40 peratus pengeluaran getah asli dunia.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam, kedua-dua negara bersetuju untuk mengambil langkah sesuai bagi memastikan kestabilan harga, terutama minyak sawit.
"Langkah ini termasuk menguruskan stok minyak sawit dan mengurangkan bekalan menerusi program penanaman semula," katanya dalam kenyataan itu. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter Chin Fah Kui dan Menteri Pertanian Indonesia, Dr Ir Anton Apriyanto mengadakan pertemuan semalam untuk membincangkan kerjasama dua hala itu.
Menteri Indonesia itu berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D8).