KUALA LUMPUR 3 Mei - Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan penghindaran risiko, kata para peniaga.
Pada pukul 5 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 3.2085/2115 berbanding 3.1820/1850 Jumaat lepas.
Mereka berkata pasaran bimbang dengan keupayaan Greece melaksanakan pembaharuan menangani beban hutangnya yang tinggi.
Para pelabur menjangkakan masalah kredit itu akan berleluasa dan mengheret ekonomi Eropah tetapi kebimbangan itu bagaimanapun telah memberi sokongan kepada dolar AS.
Ringgit pula dijangka terus kukuh berbanding dolar AS kerana pasaran menjangkakan yang Bank Negara akan menaikkan sekali lagi kadar faedah bulan ini, kata seorang penganalisis.
Ringgit ditutup teramat rendah berbanding mata wang utama yang lain.Ia lemah berbanding dolar Singapura kepada 2.3352/3395 daripada 2.3306/3345 pada Jumaat dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.4126/4169 daripada 3.3700/3750 minggu lepas.
Mata wang tempatan juga lebih lemah berbanding euro kepada 4.2455/2501 daripada 4.2362/2408 minggu lepas dan ditutup tinggi sedikit berbanding pound Britain pada 4.8891/8946 daripada 4.8898/8960 pada Jumaat.- Bernama