SETELAH menguasai bidang perladangan sawit, Sime Darby Bhd akan meneroka secara agresif pasaran makanan antarabangsa dengan melancarkan jenama Sime Darby Foods Mei ini.
Sumber industri berkata, pengenalan jenama itu akan melengkapkan operasi kumpulan itu, daripada penanaman hingga kepada pengeluaran produk runcit. “Selain perladangan sawit, yang menjadi penyumbang pendapatan terbesarnya, Sime Darby juga terbabit dalam aktiviti hiliran komoditi itu seperti minyak pengeluaran lelemak dan oleokimia. “Rantaian nilai itu akan lengkap satu pusingan dengan pengenalan Sime Darby Foods, jenama baru bagi produk makanan,” katanya kepada Berita Harian.
Pengeluaran produk makanan adalah segmen perniagaan baru yang dibangunkan kumpulan itu, setelah menggiatkan pengembangan perniagaan penjagaan kesihatan menerusi Sime Darby Healthcare sejak tiga tahun lalu.
“Sime Darby Food akan melancarkan produk pertamanya Mei ini. Dari segi konsep, ia adalah produk dari ladang-ke-meja yang mana dijangka mampu membawa perniagaan perladangan dan nama Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Sime Darby kini memiliki enam segmen perniagaan iaitu perladangan, hartanah, industri, automotif, tenaga dan utiliti serta penjagaan kesihatan.
Sime Darby juga kekal sebagai syarikat perladangan sawit senaraian awam terbesar di dunia dengan keluasan 524,626 hektar di Semenanjung, Sarawak dan Sabah serta di Sumatera, Kalimantan dan Sulawesi, Indonesia.
Di kalangan syarikat swasta ia juga adalah perintis dalam penggunaan biofuel.
Pada peringkat awal bahan api alternatif itu digunakan jentera ladang seperti traktor serta lorinya, dan kini diperluaskan kepada kenderaan BMW 740d yang digunakan Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan syarikat itu.